23 Jun 2022, 15:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lautan merupakan ekosistem terbesar di planet bumi yang meliputi kira-kira 71 peratus daripada permukaan bumi. Tidak dapat disangkal lagi bahawa laut menjadi sistem sokongan utama kehidupan di bumi, terutamanya kepada manusia. Malaysia ialah negara bertuah kerana negara ini mempunyai garis pantai yang panjang. Malaysia disempadani dengan Laut Andaman, Selat Melaka, Teluk Thailand, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Sehubungan dengan itu, lautan yang mengelilingi Malaysia menyumbang secara signifikan sebagai sumber ekonomi utama yang telah menjadi hub perdagangan global dan aktiviti ekonomi, khususnya dalam sektor perkapalan, pelancongan, perikanan serta minyak dan gas luar pesisir. Selain itu, lautan Malaysia juga menjadi rumah kepada kepelbagaian biologi yang luar biasa dan ekosistem yang unik merangkumi hutan bakau, terumbu karang dan rumput laut serta sumber semula jadinya menawarkan nilai tersendiri dalam menyokong pembangunan mampan.

Walau bagaimanapun, aktiviti seharian manusia telah menjejaskan daya tahan persekitaran marin dan sumbernya. Sebagai contohnya, pencemaran plastik di lautan yang membahayakan hidupan laut dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan manusia masih berlarutan hingga kini. Lebihan penggunaan plastik juga telah mengakibatkan lambakan sisa buangan plastik di tapak pelupusan.

Amalan pengurusan dan pelupusan sampah plastik yang tidak sistematik telah menyebabkan kehadiran plastik di lautan sehingga Malaysia disenaraikan sebagai antara negara di dunia yang menyumbang kepada sumber plastik yang besar di lautan. Hal ini bukan sahaja mencetuskan kesan yang buruk terhadap alam sekitar dan juga kesihatan dan kesejahteraan manusia dan hidupan laut, malah turut menjejaskan imej Malaysia di mata dunia. Kemerosotan alam sekitar marin dan pantai juga berpunca daripada aktiviti ekonomi seperti perkapalan dan pelancongan.

Peningkatan pencemaran dan pembangunan pantai yang tidak mampan adalah antara isu yang menyumbang kepada kehilangan biodiversiti dan perubahan dalam ekosistem seperti rantaian makanan dan fungsi ekologi. Isu ini perlu ditangani demi kelestarian sumber laut serta kestabilan pembangunan sektor maritim negara. Berdasarkan pemerhatian, kekangan pentadbiran dan pengurusan sumber lautan, terutamanya dalam konteks urus tadbir perlu diberi perhatian.

Pada masa ini, pendekatan pengurusan dipraktikkan adalah kurang teratur dan tidak sistematik dengan kewujudan birokrasi dalam pentadbiran sedia ada yang tertumpu kepada perancangan yang tidak selari dengan pelaksanaan. Oleh itu, menjadi keperluan pihak tertentu untuk menerima pakai dan melaksanakan keseimbangan yang lebih mampan antara pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan kesejahteraan lautan yang berkait rapat dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan mengurus dan melindungi ekosistem marin secara mampan.

Kini, kita sedang memasuki dekad baharu SDG (2021–2030) seperti yang diisytiharkan oleh PBB. Sebagai negara anggota PBB, Malaysia menunjukkan komitmen sepenuhnya terhadap lautan yang mampan menjelang tahun 2030 dengan memasukkan pelaksanaan SDG 14 dalam Rancangan Malaysia ke-11 untuk tempoh 2016 —2020.

Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia komited untuk menerapkan konsep Ekonomi Biru sebagai keperluan utama untuk mencapai keseimbangan selain merupakan prasyarat untuk menyokong pertumbuhan sosioekonomi dan merealisasikan lautan yang mampan menjelang tahun 2030. Konsep ini dilihat menjamin perancangan dan pengurusan yang betul bagi ruang laut Malaysia yang dimaksudkan untuk industri perikanan, tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan maritim, pengurusan sisa, pelancongan, dan perubahan iklim seperti yang digariskan oleh Bank Dunia.

Malaysia memegang mandat untuk memupuk pembangunan dalam bidang pembangunan lautan dan hal ini boleh dijayakan dengan menyepadukan konsep Ekonomi Biru. Seterusnya, dalam Rancangan Malaysia ke-12 (tempoh 2021-2025), konsep Ekonomi Biru diletakkan di bawah dimensi kelestarian alam sekitar, antara lain termasuklah teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui serta penyesuaian dan mitigasi perubahan iklim.

Pada terasnya, pengurusan lautan yang mampan dan saksama bergantung pada pelaksanaan dasar yang proaktif diikuti dengan proses tadbir urus yang inklusif. Antara ciri tadbir urus baik ialah kesediaan menghadapi cabaran dengan berkesan di samping memenuhi aspirasi dan kepentingan penggunanya. Langkah ini boleh dilaksanakan dengan merumuskan rangka kerja bersepadu meliputi pengukuhan bersama-sama pertumbuhan ekonomi dan pemuliharaan lautan.

Secara amnya, tadbir urus lautan perlu berpandukan perlembagaan lautan terkandung dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982. UNCLOS adalah asas kepada tindakan melindungi persekitaran laut dari segi penggunaan dan pemuliharaan sumber laut serta hak perundangan dan ruang lautan saling berkaitan dan perlu dipertimbangkan secara keseluruhan. Bahagian XII UNCLOS menggariskan panduan khusus untuk perlindungan alam sekitar marin daripada kesan berbahaya ditimbulkan secara langsung oleh kegiatan manusia, termasuklah sumber pencemaran berasaskan laut, darat dan udara.

Keseragaman dalam tadbir urus lautan diyakini dapat menangani isu, terutamanya dalam pembahagian ruang lautan laut, di samping mengawal aktiviti manusia di lautan secara holistik. Pengukuhan ekonomi biru demi kelestrarian lautan ini memerlukan sokongan penuh daripada kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memacu pelaksanaan dan kemajuan, misalnya mewujudkan mekanisme pentadbiran untuk pengurusan bersepadu lautan.

Selain itu, adalah amat kritikal untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kesan tindakan manusia terhadap lautan serta pendedahan pengurusan mampan lautan dunia. Kesedaran masyarakat mengenai kepentingan laut kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan hidup amat penting kerana tanggungjawab melindungi dan memelihara ekosistem laut merupakan tanggungjawab bersama bagi memastikan persekitaran marin yang sihat, berdaya tahan dan produktif.

 

Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.