22 Jun 2022, 14:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Satelit MEASAT 3-d yang akan dilancarkan pada Khamis ini bakal menambah baik perkhidmatan Internet dan kadar ketersambungan capaian Internet, terutamanya di kawasan luar bandar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tan Sri Annuar Musa berkata MEASAT 3-d merupakan satelit kelapan yang akan dilancarkan dan merupakan jenis Geostationary Equatorial Orbit atau GEO.

Tambahnya, satelit ini mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang pantas dan menyokong aliran tinggi data yang dikenali sebagai High Throughput Satellite (HTS).

HTS adalah antara perkhidmatan penting dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar tinggi, terutamanya di kawasan pedalaman dan Internet kelajuan tinggi akan ditambah baik daripada kelajuan muat turun 30 MBps kepada 100 MBps yang membolehkan penstriman kandungan tinggi data seperti video 4K/8K.

Beliau juga berkata MEASAT 3-d mampu memperkukuh era digital Malaysia berteraskan teknologi talian tetap, mudah alih dan satelit tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat melalui pelancaran satelit baharu ini.

“Penyedia perkhidmatan telekomunikasi lain juga boleh menggunakan satelit ini untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada tiga peratus hingga lima peratus populasi yang belum lagi diliputi oleh sambungan fiber atau jalur lebar tanpa wayar seperti yang ditawarkan oleh MEASAT melalui perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW,” ujarnya melalui kenyataan media semalam.

Selaras dengan inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), MEASAT 3-d dapat merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia dengan mengembangkan liputan Internet berkelajuan tinggi di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai sambungan supaya mencapai 100 peratus kesalinghubungan Internet sekali gus membolehkan rakyat menikmati kemudahan Internet dengan lebih baik.

Beliau juga berkata dengan akses Internet yang stabil dan pantas, keluarga Malaysia boleh memperoleh pelbagai manfaat sosioekonomi seperti penyertaan dalam aktiviti e-dagang dan pembelajaran digital.

MEASAT 3-d bakal dilancarkan pada Khamis ini pada pukul 5.03 pagi waktu tempatan French Guiana, Amerika Selatan. Pelancaran ini boleh disaksikan secara langsung menerusi Facebook Berita RTM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.