Oleh Azri Adzhar
22 Jun 2022, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, dunia telah mengharungi dua wabak global yang sangat berbeza, iaitu influenza dan jangkitan koronavirus. Tidak seperti virus SARS-CoV-2 (COVID-19) pada awalnya, jangkitan cacar monyet yang sedang melanda dunia pada masa ini menjadikan dunia sudah bersedia untuk menempuh wabak dengan vaksin yang sangat berkesan dan dirumuskan untuk melindungi diri daripada cacar (smallpox).

Kemunculan cacar monyet kali terakhir adalah sekitar tahun 2017 hingga 2018. Negara Singapura melaporkan satu kes import daripada warga Nigeria pada tahun 2019 dan pada 20 Jun 2022, cacar moyet telah dikesan semula di negara itu. Maklumat menunjukkan bahawa punca jangkitan ialah daripada memakan daging hidupan liar (bushmeat), yakni satu daripada bentuk klasik jangkitan penyakit zoonosis iaitu jangkitan daripada haiwan kepada manusia. Untuk jangkitan cacar monyet yang terbaharu pula, kes tersebut melibatkan kes import warga British yang bekerja sebagai pramugara dan 13 kontak rapat telah dijejaki.

Cacar monyet ialah sejenis penyakit cacar bawaan primat. Penyakit ini jarang-jarang berlaku dan disebabkan oleh jangkitan virus cacar monyet. Secara kronologinya, cacar monyet merupakan jangkitan haiwan di belantara, menular kepada manusia dan kemudiannya daripada manusia kepada manusia. Tidak seperti namanya, hanya sedikit sahaja virus cacar monyet berlaku dalam kalangan perumah primat. Sebahagian besarnya berlaku kepada haiwan rodensia seperti tikus gergasi Gambia dan tupai. Pada tahun 2003, sebanyak 40 kes jangkitan cacar monyet kepada manusia telah dilaporkan disebabkan oleh jangkitan daripada anjing prairie.

Simptom cacar monyet menyerupai cacar manusia. Simptomnya berlarutan selama 14 hari hingga 21 hari yang melibatkan demam, sakit kepala yang kuat, sakit belakang, lenguh anggota badan, sengal di bahagian sendi dan lesu. Ciri lesi penyakit tipikal menyerupai cacar air, iaitu bintil berair, bermula daripada radang dan ruam kulit di bahagian muka dan merebak ke seluruh bahagian tubuh dengan lesi papul, vesikel dan pustul, dan akhirnya meninggalkan keruping. Berbanding dengan cacar, penyakit ini adalah kurang teruk dan ciri pembezaannya ialah cacar monyet menyebabkan pembesaran nodus limfa. Kes kematian bagi cacar monyet, khususnya di negara endemik Afrika adalah tidak lebih daripada 10 peratus.

Kemunculan baharu penyakit ini dikatakan mempunyai kaitan dengan menurunnya kes cacar di dunia. Jangkitan cacar yang disebabkan oleh virus variola adalah satu daripada penyakit yang paling ditakuti. Kes cacar terakhir yang diketahui berlaku pada tahun 1977 di Somalia. Wabak ini akhirnya telah berjaya dibasmi sejak tahun 1980 hasil daripada kempen pemvaksinan sejagat yang diterajui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pembasmian jangkitan cacar adalah satu-satunya kejayaan dan pencapaian penting kesihatan awam dunia. Namun demikian, dengan pengurangan pemvaksinan yang berterusan, imuniti populasi manusia terhadap cacar juga merosot dan membuka peluang untuk risiko jangkitan oleh virus yang berkaitan dengan cacar lain, termasuklah cacar monyet. Seperti virus vaksinia yang digunakan dalam vaksin cacar dan virus cacar lembu, virus cacar monyet tergolong dalam genus yang sama, iaitu Orthopoxvirus dalam keluarga virus Poxviridae.

Republik Demokratik Congo merupakan “tuan rumah” asal kepada penyakit cacar monyet. Penyakit ini pertama kali ditemui pada tahun 1958 apabila dua wabak penyakit seperti cacar berlaku dalam koloni monyet yang disimpan untuk penyelidikan. Keadaa ini berlaku dalam tempoh dua tahun selepas kes cacar terakhir di negara itu dilaporkan, iaitu pada tahun 1970.  Sejak itu, virus cacar monyet telah menyerang manusia di beberapa buah negara Afrika Tengah dan Afrika Barat seperti Cameroon, Republik Afrika Tengah, Côste d’Ivoire, Sierra Leone, Sudan, Gabon, Liberia, Nigeria, dan Liberia. Negara ini akhirnya menjadi endemik kepada cacar monyet.

Kemunculan semula wabak cacar monyet pada tahun ini telah mencetuskan kebimbangan baharu disebabkan oleh virus ini jarang-jarang berlaku di luar Afrika. Keadaan ini adalah berbeza dengan kes pada tahun 2018 dan tahun 2019 yang kebanyakannya tidak mempunyai kaitan dengan perjalanan ke benua itu.

Setakat bulan Mei 2022, WHO melaporkan kes dari 28 buah negara endemik Afrika itu dengan lebih daripada 1500 kes disyaki. Daripada lapan buah negara tersebut, sebanyak 59 kes telah disahkan dengan 72 kematian. Data ini kelihatan seperti biasa pada setiap tahun, tetapi apabila wabak cacar monyet berlaku dalam negara yang virusnya tidak lazim, hal ini telah membuatkan pihak berkuasa kesihatan antarabangsa bimbang dan berada dalam kedudukan berjaga-jaga.

Adakah cacar monyet akan mengikut jejak wabak Covid dan menjadi endemik? Persoalan itu mempunyai asasnya. Persekitaran endemik cacar monyet di Afrika telah berkembang antara benua dan jangkitan dilihat semakin meningkat. Sebanyak 85 peratus kemunculan baharu wabak sekarang berlegar-legar di sekitar Eropah dan diikuti oleh negara Amerika Syarikat, Timur Mediterranean dan Australia. Sejumlah 1600 kes telah dilaporkan dan kebanyakan kes berlaku dalam kalangan pasangan homoseksual dan berkait rapat dengan sejarah perjalanan ke negara tersebut. Hal ini telah membangkitkan stigma terhadap golongan lesbian, homoseksual, biseksual dan trans transjantina dengan wabak virus kurang daya tahan manusia (HIV) pada tahun 1980-an.

Kajian genom mendapati virus cacar monyet berasal daripada kes lama (tahun 2017 hingga 2019) yang berasal dari Singapura, United Kingdom, Israel dan Nigeria. Hal ini bermaksud dalam masa tiga atau empat tahun lepas, jangkitan cacar monyet tidak dikesan dengan cekap atau terdapat kemungkinan virus tersebut telah berevolusi. Namun begitu, kemungkinan untuk virus bermutasi adalah rendah disebabkan virus ini ialah virus asid deoksibonukleik (DNA) dan genomnya stabil sejak sekian lama, berbanding dengan virus korona, SARS-CoV yang terdiri daripada asid ribonukleik (RNA) yang berevolusi dengan cepat.

Virus ini mempunyai dua klados, iaitu klados Afrika Barat (WA) seperti kes yang dikesan di Amerika Syarikat dan Singapura pada tahun 2019 dan klados Congo Basin (CA) bagi wabak yang berlaku di Afrika. Perbezaan kedua-dua klados ini ialah virus klados Afrika Barat adalah kurang ganas dan nisbah kes kematian (CFR) adalah kurang daripada satu peratus berbanding dengan virus cacar monyet klados CA dengan CFR melebihi 10 peratus.

Bentuk klinikal cacar monyet dalam wabak terbaharu tidak lagi mempamerkan gambaran klinikal klasik itu lagi. Ciri tidak tipikal tetapi ketara termasuklah lesi yang sedikit (kadang-kadang hanya satu) lesi bermula dari alat kelamin dan dubur dan terhad di kawasan itu, fasa perkembangan lesi yang tak segerak dan kemunculan lesi terkehadapan daripada simptom am serta daripada pembengkakan nodus limfa. Hal ini menyebabkan pada awalnya cacar monyet disangkakan sebagai sejenis penyakit kelamin seperti HIV.

Laluan jangkitan cacar monyet melalui hubungan seks dikatakan masih belum dipastikan, walaupun diketahui bahawa sentuhan fizikal dengan kontak rapat boleh menyebabkan perebakan. Dalam kajian yang dilakukan oleh penyelidik Itali dan German, mereka mendapati bahawa virus yang terdapat dalam air mani dapat menjangkiti orang lain dan membiak.

Secara umumnya, beberapa buah negara telah memberikan pemvaksinan sebagai rawatan profilaksis, khusus kepada penghidap penyakit cacar monyet. WHO juga telah mengeluarkan garis panduan pemvaksinan untuk cacar monyet sebagai langkah siap siaga kebimbangan wabak ini akan menjadi endemik seperti wabak COVID-19. Dalam keadaan sekarang, risiko jangkitan cacar monyet kepada orang awam belum cukup membimbangkan untuk pemvaksinan massa seperti COVID-19 dengan mengambil kira kesan sampingan dan bekalan vaksin. Hal ini disebabkan oleh kaedah penularan patogen cacar monyet adalah berbeza yang membuatkan langkah kawalannya lebih mudah berbanding dengan wabak COVID-19. Namun begitu, sekiranya virus terus merebak dalam populasi rentan seperti kanak-kanak dan wanita mengandung atau menyebabkan kadar kematian yang tinggi, perkiraan risiko-faedah boleh berubah.

Beberapa buah negara di dunia ini dilaporkan masih menyimpan bekalan vaksin cacar, namun penggunaan vaksin generasi pertama ini tidak disarankan pada masa ini. Hal ini dikatakan demikian kerana vaksin tersebut belum menepati piawai keselamatan dan pembuatan. Vaksin cacar generasi kedua atau ketiga mungkin lebih selamat dan berguna untuk menentang cacar monyet. Dilaporkan juga vaksin generasi kedua bagi cacr monyet masih tidak cukup berkesan di samping memberikan kesan sampingan tertentu.

Antara vaksin cacar yang berkaitan ialah virus vaksinia terubah suai (buatan Kanada dan Kesatuan Eropah) dan orthopoxvaccine keluaran Amerika Syarikat. Kelebihan vaksin ini ialah virus vaksin tidak mampu untuk membiak dalam individu yang divaksin berbanding dengan vaksin cacar asal. Bekalannya terhad dan capaiannya sedang dibincangkan oleh penguasa kesihatan antarabangsa. Namun demikian, WHO menyatakan pemvaksinan tidak disarankan sehingga ditentukan penilaian risiko bagi hal tersebut.

Negara Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat telah melaksanakan strategi pemvaksinan sekitar (ring vaccination) untuk menyekat perebakan virus. Hal ini melibatkan pemvaksinan vaksin cacar kepada individu yang telah terdedah kepada cacar monyet melalui kontak rapat dengan orang yang telah terjangkit. Strategi ini memerlukan pengesanan kontak kepada mereka yang telah terdedah dengan kontak rapat.

Walau bagaimanapun, strategi ini mungkin mempunyai cabaran. Walaupun vaksin tersebut mungkin selamat dan berkesan digunakan untuk mencegah cacar, namun belum lagi terdapat kajian yang lengkap tentang keberkesanannya. Strategi itu juga bergantung kepada pengesanan kontak atau kontak rapat, yang tidak semua negara mampu lakukan di samping individu berkenaan juga harus bersetuju dan menerima untuk divaksin. Hal ini mungkin jarang-jarang berlaku tetapi masih dianggap serius. Keadaan ini hampir sama semasa dunia memperkenalkan pemvaksinan untuk COVID-19.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!