18 Jun 2022, 14:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma darah dan penganjur kempen derma darah yang telah banyak membantu mengekalkan bekalan darah, khususnya Hospital Tuanku Fauziah (HTF). Bantuan ini telah banyak menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat melancarkan kempen Hari Penderma Darah Sedunia 2022 dalam program Hijrah Minda MAIPs Khas bersempena dengan Perkampungan Sunnah Edisi Ke-7 yang berlangsung dari 17 Jun 2022 hingga 19 Jun 2022 di Masjid Alwi, Kangar semalam.

DYTM Raja Muda Perlis di Masjid Alwi, Kangar.

Program ini dianjurkan secara bersama oleh Jabatan Kesihatan Negeri dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti Negeri, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Bersempena dengan program tersebut juga, DYTM Raja Muda Perlis yang merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM11 600 kepada 29 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Alwi, Kangar untuk diagihkan oleh amilnya, Encik Ismail Hashim. Masing-masing akan menerima RM400 setiap seorang.

DYTM Raja Muda Perlis menyerahkan sumbangan MAIPs kepada asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Alwi, Kangar melalui amilnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mewartakan tarikh 14 Jun pada setiap tahun sebagai Hari Penderma Darah Sedunia. Tema sambutan pada kali ini ialah “Derma Darah, Kukuhkan Perpaduan”.

Menurut beliau, walaupun bekalan darah di negeri Perlis masih baik, komitmen berterusan daripada penderma darah dan penganjur kempen derma darah sentiasa diperlukan.

Tabung darah di Hospital Tuanku Fauziah memerlukan 160 hingga 200 beg darah seminggu dan hampir 800 beg darah sebulan untuk menampung keperluan pesakit.

Sebelum program ini telah diadakan sesi taklimat berkenaan dengan kempen Rakyat Perlis Hidup Bersih yang disampaikan oleh Pengarah SWCorp Negeri, Shamsuharizal Basir.

Turut hadir dalam program ini ialah Mufti Perlis,  YBhg. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Negeri Pulau Pinang, YBhg. Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.