11 Jun 2022, 17:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menawarkan senarai inventori yang boleh digunakan segera bagi membantu menangani sekuriti makanan dengan penyelesaian berlandaskan teknologi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata pihaknya menawarkan senarai inventori teknologi yang boleh digunakan segera dan lebih 800 jaringan pakar saintis Akademi Sains Malaysia bagi mengenal pasti serta memadankan kaedah penyelesaian terbaik berlandaskan teknologi.

“Sehingga kini, sebanyak 46 penyelesaian teknologi telah dikenal pasti tersedia untuk membantu menangani isu ini,” tambahnya.

Beliau berkata Agensi Nuklear Malaysia antaranya sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan kaedah biak baka mutasi rumput seperti penghasilan varieti baharu rumput Napier yang lebih tinggi kandungan protein sebagai makanan utama haiwan ternakan seperti lembu dan kambing serta sesuai dijadikan sebagai silaj.

Katanya lagi, bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran tanaman, antara teknologi yang boleh diguna pakai ialah kemudahan penyinaran gama bagi penjanaan varieti baharu tanaman termasuklah penambahbaikan tanaman.

“Penggunaan baja yang berasaskan teknologi nano pula membolehkan pelepasan nutrien secara terkawal seterusnya mengurangkan penggunaan baja dan meningkatkan produktiviti serta hasil pertanian, khususnya bekalan makanan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, selain usaha sama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, kerjasama ini akan diteruskan bersama-sama dengan pihak berkepentingan dan diperkasakan.

Menerusi bilik gerakan yang dikenali sebagai Bilik Gerakan Penyelesaian Teknologi, MOSTI berperanan menyokong kerajaan bagi menangani isu bekalan makanan dengan menggunakan teknologi yang boleh diguna pakai para penternak, peladang dan petani bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Jaringan bekalan dalam ekosistem akan dihubungkan dengan pantas antara pemain utama industri seperti pengusaha dan akademia menerusi bilik gerakan ini bagi membantu menangani pelbagai semasa negara dengan segera,” katanya lagi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Sementara itu, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan berkata isu sekuriti makanan dengan penyelesaian berlandaskan teknologi seperti penggunaan kecerdasan buatan, Internet Benda dan penggunaan bioteknologi dan teknologi nano dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang sudah dikenal pasti dengan penubuhan bilik gerakan ini.

“MOSTI juga akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama dengan persatuan penternak, peladang dan petani serta syarikat teknologi bagi menghimpunkan input yang dapat membantu menangani isu sekuriti makanan,” katanya lagi.

Beliau juga berkata usaha kolektif dalam menghimpunkan pelbagai teknologi ini disesuaikan dengan peneriman teknologi yang sesuai dapat meningkatkan kelestarian sumber bekalan makanan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.