12 Mei 2022, 21:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hari Jururawat Antarabangsa saban tahun disambut pada 12 Mei bersempena dengan hari kelahiran Florence Nightingale, seorang jururawat yang dianggap sebagai pengasas kejururawatan moden. Pada tahun ini, sambutannya bertemakan “Jururawat: Suara yang Memimpin – Laburlah dalam Sektor Kejururawatan dan Hormatilah Hak untuk Mencapai Kesihatan Sejagat”.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, tema yang dipilih pada tahun ini menunjukkan keperluan dan kepentingan terhadap pembinaan tenaga kerja kejururawatan yang berdaya tahan dan berkelayakan tinggi dalam memberikan khidmat kejururawatan secara optimum serta memenuhi keperluan rakyat.

Tambah beliau, pandemik yang melanda negara telah membuka mata masyarakat seluruh dunia tentang peranan jururawat yang dilihat terlalu besar dalam menghadapi situasi begini. Jururawat merupakan tulang belakang kepada sistem kesihatan negara kerana jururawat merupakan populasi terbesar dalam sektor kesihatan.

Tahniah dan syabas kepada semua jururawat kerana mereka merupakan insan terpilih bagi melaksanakan tanggungjawab yang besar kepada negara dan terima kasih juga kepada semua jururawat yang sanggup mengetepikan kepentingan diri, memerah keringat dan mendedahkan diri kepada risiko jangkitan serta bencana demi kesihatan dan keselamatan rakyat.

Bertempat di Muzium Negara, Majlis Pelancaran Pameran Evolusi Baju Seragam Jururawat telah diadakan. Pameran tersebut merupakan kerjasama antara Jabatan Muzium Malaysia dengan Bahagian Kejururawatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pameran ini akan berlangsung selama sebulan bermula dari 12 Mei 2022 hingga 12 Jun 2022 bertempat di Dewan Tengah Muzium Negara bagi mengangkat wira dan wirawati barisan hadapan negara, khususnya semasa negara berhadapan dengan wabak COVID-19. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah KKM, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Dalam ucapan perasmian, beliau berkata KKM berbesar hati atas hasrat dan usaha Jabatan Muzium Negara mengadakan Pameran Sisipan Baju Seragam Jururawat bersempena dengan Hari Jururawat Tahun 2022 dan dilihat sebagai tanda penghargaan kepada jururawat selaku petugas barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat di negara ini.

Beliau turut menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Kamarul Baharin A. Kasim serta semua anggota yang terlibat dalam menjayakan pameran ini.

Setinggi-setinggi penghargaan juga diucapkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan agensinya, Jabatan Muzium Negara yang telah memainkan peranan signifikan dalam memastikan hebahan sejarah ini terlaksana dan diharapkan kerjasama padu antara KKM dengan Jabatan Muzium Malaysia dapat dipertingkat pada masa akan datang.

Tambah beliau lagi, banyak sejarah di KKM seperti koleksi pakaian dan peralatan yang boleh dipamerkan dan dikongsikan dengan masyarakat bagi melihat cara penyampaian perkhidmatan kesihatan pada masa lalu.

Turut hadir dalam majlis perasmian hari ini ialah Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, Pengarah Kejururawatan KKM, Puan Devi a/p K. Saravana Muthu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Malaysia, Encik Mohamad Shawali Haji Badi, Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) Jabatan Muzium Malaysia, Encik Mohd Razaimi Hamat, dan Pengarah Muzium Negara, Encik Zamrul Amri Zakaria.

(Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia)
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.