22 April 2022, 11:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam membenarkan pesakit yang dirawat di wad untuk ditemani oleh penjaga dan menerima pelawat mulai 23 April 2022.

Menurut Ketua Pengarah KKM, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, polisi dan garis panduan yang diguna pakai dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan di fasiliti kementeriannya sentiasa disemak dan dikemas kini berdasarkan perkembangan terkini jangkitan COVID-19 di dalam dan di luar negara.

Tambah beliau, langkah ini diambil setelah mengambil kira kepentingan sokongan psikososial, terutamanya daripada ahli keluarga pesakit dalam membantu proses penyembuhan seseorang pesakit.

Beliau berkata secara umumnya, pelawat dan penjaga yang dibenarkan mestilah berumur 12 tahun ke atas, telah lengkap vaksinasi COVID-19 dan tidak tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19.

Bagi penjaga kategori pesakit tertentu yang perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri, ujian perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam sebelum ketibaan di hospital dan tarikh serta masa ujian dijalankan perlu dinyatakan berserta gambar sebagai bukti.

Kriteria lain juga ialah penjaga atau pelawat tidak disyaki menghidap COVID-19 atau individu dalam pemantauan (PUS) dan tidak mempunyai gejala COVID-19. Mereka juga perlu mengisi borang deklarasi COVID-19 serta mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan memakai alat pelindung diri (PPE) seperti yang telah ditetapkan.

Beliau juga menjelaskan bagi penjaga pesakit bukan COVID-19 yang berada di wad serta individu yang ingin menemani ibu mengandung semasa proses bersalin, mereka perlu menjalani ujian saringan COVID-19, iaitu RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif.

Lawatan dalam kalangan ahli keluarga kepada pesakit bukan COVID-19 yang berada sama ada di wad, Unit Rawatan Rapi atau sedang tenat adalah dibenarkan, namun begitu hanya terhad kepada dua orang pelawat pada satu-satu masa.

Tambah beliau lagi, hanya seorang penjaga dibenarkan bagi pesakit bukan COVID-19 yang menerima rawatan sebagai pesakit luar atau jabatan kecemasan dan mereka juga digalakkan untuk menjalani ujian COVID-19 dengan menggunakan RTK-Ag kendiri sebelum hadir ke fasiliti kesihatan.

Bagi pesakit COVID-19, kehadiran penjaga hanya dibenarkan bagi pesakit yang memerlukan penjagaan khusus dan pesakit kanak-kanak dan bagi tujuan tersebut, penjaga perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif serta perlu diulang sekiranya penjaga tersebut bergejala dan sebelum pulang ke rumah.

Jelas beliau lagi, tiada pelawat dibenarkan bagi pesakit COVID-19 kecuali bagi pesakit yang sedang tenat, sama ada di wad atau Unit Rawatan Rapi dan hanya dua orang pelawat dibenarkan pada satu-satu masa. Mereka juga digalakkan untuk melakukan ujian COVID-19 dengan menggunakan RTK-Ag kendiri sebelum lawatan tersebut.

KKM dalam kenyataan itu juga menekankan bahawa dalam keadaan tertentu apabila risiko penularan COVID-19 adalah tinggi seperti berlakunya wabak COVID-19 di hospital, pihak hospital boleh melakukan beberapa pengubahsuaian kepada polisi sedia ada bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pihak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.