8 April 2022, 14:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tumpuan pemandu akan terganggu apabila pemandu mengalihkan perhatian kepada perkara lain ketika memandu. Sebenarnya, pemandu tidak boleh melakukan beberapa perkara kerana memandu ialah tugas yang mencabar dari segi kognitif. Melakukan perkara lain sambil memandu adalah seperti mengenakan tuntutan atau beban tambahan ke atas pemanduan dan hal ini boleh menjejaskan kemampuan seseorang itu untuk memandu.

Pemanduan yang terganggu berpotensi menyebabkan pemandu kurang menumpukan perhatian atau membuat satu-satu keputusan yang tidak tepat tentang kaedah selamat untuk mengawal kenderaan. Piawaian pemanduan yang rendah ini bererti pemandu kurang berkemampuan untuk menjangkakan bahaya di hadapan. Hal ini mencetuskan gangguan tumpuan dan boleh menyebabkan kemalangan.

Menurut statistik, sebanyak 2.5 juta kemalangan kereta yang melibatkan pemandu terganggu di seluruh dunia. Statistik juga mendedahkan bahawa pemanduan yang terganggu hanya mengambil masa selama tiga saat untuk berlakunya kemalangan kereta selepas pemandu terganggu. Di Amerika Syarikat misalnya, kira-kira lapan orang maut setiap hari akibat kemalangan kereta yang melibatkan pemanduan yang terganggu. Pada tahun 2109, sebanyak 3142 orang telah dilaporkan terbunuh disebabkan oleh pemanduan terganggu di negara tersebut. Walau bagaimanapun, perincian data berkaitan dengan pemanduan terganggu di Malaysia masih belum dicerap dengan sepenuhnya. Secara umumnya, terdapat tiga jenis gangguan tumpuan ketika sedang memandu, iaitu gangguan penglihatan, manual dan kognitif.

Gangguan penglihatan bermaksud pemandu mengalihkan pandangan daripada jalan raya seperti melihat sistem sistem penentududukan sejagat (GPS), melihat papan iklan di tepi jalan atau memeriksa tali pinggang keledar anak melalui cermin pandang belakang. Apabila pemandu mengalihkan pandangan dari jalan raya, walaupun hanya untuk sesaat, pemandu sebenarnya telah mengalihkan tumpuan mereka dari jalan. Hal ini sangat berbahaya kerana pemandu tidak dapat menilai persekitaran secara konsisten.

Gangguan manual pula merujuk keadaan apabila pemandu melepaskan tangan dari stereng atas sebarang alasan untuk tempoh masa tertentu. Perbuatan seperti mencari sesuatu di dalam beg, makan dan minum, bersolek atau menukar stesen radio boleh dikategorikan sebagai gangguan manual. Tanpa kedua-dua tangan di atas stereng, masa tindak balas pemandu akan terjejas, begitu juga dengan keupayaannya untuk mengemudi kenderaan. Sebaik-baiknya, pemandu meletakkan kedua-dua tangan pada stereng dengan posisi jarum jam di kedudukan sepuluh dan dua untuk mengelakkan pemandu terpesong dari jalan raya atau memasuki aliran lalu lintas dari arah yang bertentangan.

Gangguan kognitif berlaku apabila minda seseorang tidak memberikan fokus yang sebaik-baiknya semasa memandu. Sesetengah gangguan adalah gabungan sebahagian atau semua jenis gangguan ini seperti menggunakan telefon bimbit.

Pemandu boleh melihat jalan raya dengan tangan berada pada stereng, namun jika fikiran pemandu tidak memberikan fokus, pemandu sebenarnya masih berada dalam keadaan terganggu. Secara ringkasnya, apabila perkara lain telah menarik perhatian, pemandu mungkin akan mengalami kesukaran untuk menumpukan perhatian. Hal ini menyebabkan pemandu kurang berwaspada dan berada dalam keadaan yang tidak selamat.

Bentuk dan tahap gangguan tumpuan ketika memandu boleh berbeza-beza. Hal ini termasuklah menggunakan telefon bimbit dan peranti elektronik, tercengang-cengang, membawa penumpang termasuklah kanak-kanak dan haiwan peliharaan, makan ketika memandu, melakukan aktiviti tidak bermoral ketika memandu dan mencari barang yang hilang.

Bukti menunjukkan bahawa gangguan yang disebabkan oleh penggunaan telefon bimbit boleh menjejaskan prestasi memandu melalui beberapa cara seperti masa tindak balas lebih panjang, terutamanya masa tindak balas membrek dan isyarat lalu lintas, keupayaan untuk kekal di lorong yang betul dan jarak ikutan yang lebih pendek. Selepas menggunakan telefon bimbit, otak pemandu memerlukan sekitar tiga belas saat untuk fokus semula kepada pemanduan.

Menghantar pesanan teks juga boleh menjejaskan prestasi memandu dengan ketara. Dalam hal ini, pemandu muda lebih terdedah kepada kesan gangguan daripada menghantar pesanan teks. Kajian menunjukkan bahawa pemandu yang menggunakan telefon bimbit adalah empat kali ganda lebih berkemungkinan untuk terlibat dalam kemalangan. Penglihatan daripada jalan raya akan teralih selama lima saat setiap kali pemandu menghantar atau membaca pesanan teks.

Apabila seseorang itu memandu pada kelajuan 90 kilometer per jam, analoginya adalah seperti memandu sepanjang padang bola dalam keadaan mata tertutup. Statistik menunjukkan bahawa pemandu yang menghantar pesanan teks dan memandu adalah enam kali lebih berisiko terhadap kemalangan berbanding dengan pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk.

Beberapa negara termasuklah Malaysia telah mengambil langkah untuk menggubal undang-undang berhubung dengan penggunaan telefon bimbit semasa memandu. Sesetengah negara menumpukan kepada penggubalan undang-undang untuk kumpulan berisiko tinggi seperti pemandu muda, manakala negara lain pula melaksanakan larangan menyeluruh penggunaan semua telefon bimbit, sama ada telefon bimbit itu dipegang atau bebas tangan.

Di Malaysia, kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu adalah di bawah kaedah 17A, LN166/59 yang dikategorikan sebagai saman tidak boleh dikompaun dan kes perlu diselesaikan di mahkamah. Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan sehingga RM1000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan. Sekiranya hal tersebut adalah sabitan kali kedua, hukuman denda sehingga RM2000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam konteks ini, kempen untuk meningkatkan kesedaran awam berkaitan memandu tanpa menumpukan perhatian adalah penting dalam menangani masalah ini jika dilaksanakan sebagai sebahagian daripada strategi menyeluruh. Orang ramai boleh mengambil pengajaran daripada kejayaan usaha keselamatan jalan raya bagi menangani masalah memandu dalam keadaan mabuk di beberapa negara yang telah menyebabkan perbuatan ini dianggap sebagai pantang larang sosial.

Kempen kesedaran awam adalah perlu untuk meningkatkan kesedaran tentang risiko pemanduan supaya pengilang dan pengguna tidak mendesak untuk penambahbaikan teknologi dalam kenderaan. Kempen juga perlu dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran awam bahawa penggunaan telefon bimbit oleh pemandu pada hakikatnya mengganggu perhatian dan pemanduan.

Secara umumnya, masyarakat mengetahui bahawa sistem teknologi dalam kenderaan boleh digunakan untuk melindungi daripada gangguan tumpuan. Sebagai contohnya, ciri-ciri amaran yang memberikan amaran kepada pemandu apabila kenderaan terpesong secara tiba-tiba daripada lorongnya dapat mengurangkan kecederaan yang berkait dengan gangguan tumpuan. Namun demikian, teknologi yang terdapat di dalam kereta juga  dilihat sebagai suatu gangguan kepada pemandu.

Dengan terdapatnya pelbagai penyesuaian teknologi di dalam kenderaan, pemandu lebih berkemungkinan untuk melihat pada skrin dan tidak menumpukan perhatian pada jalan raya. Oleh itu, hal ini perlulah dikaji secara holistik oleh para penyelidik dan pengeluar kenderaan supaya penggunaan teknologi dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya dalam mengurangkan gangguan semasa memandu.

Terdapat satu lagi faktor gangguan yang perlu dititikberatkan, iaitu memandu dalam keadaan letih atau mengantuk. Penggunaan sistem pengautomatikan baharu yang berpanjangan boleh menyebabkan pemandu terlalu bergantung kepada sistem tersebut dan leka sepenuhnya daripada memberikan tumpuan kepada stereng dan jalan raya. Pemandu berpengalaman yang telah biasa menggunakan sistem pengautomatikan akan secara aktif memandu tanpa menumpukan tumpuan.

Walaupun usaha untuk mengumpulkan bukti dalam bidang ini masih baharu berbanding dengan aspek keselamatan jalan raya yang lain, kerajaan mesti menunjukkan sikap proaktif bermula dari sekarang. Negara lain telah mencapai banyak kemajuan dalam bidang keselamatan jalan raya sejak beberapa dekad yang lalu. Jika negara ingin mengekalkan dan memperbaiki pencapaian ini, maka penting untuk kita menguruskan risiko dan manfaat teknologi yang digunakan ketika memandu.

Kegagalan untuk bertindak sekarang bukan sahaja akan menyukarkan orang ramai menangani masalah ini pada masa hadapan, tetapi juga boleh menyebabkan lebih banyak kecederaan dan kematian yang berlaku di jalan raya yang sepatutnya dapat dicegah.

 

Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah Profesor Madya di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.