21 Mac 2022, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Dianggarkan kira-kira 11 juta kematian di seluruh dunia dikaitkan dengan diet yang tidak sihat dan tiga juta daripadanya berpunca daripada pengambilan garam yang tinggi. Pengambilan garam yang berlebihan akan meningkatkan tekanan darah, dan seterusnya meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, strok, kanser, dan penyakit buah pinggang yang merupakan antara punca utama kematian penyakit tidak berjangkit di seluruh dunia.

Pada tahun ini, sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia di negara ini diadakan pada 14 Mac 2022 hingga 20 Mac 2022 yang bertemakan “Tak Masin Tu Ok!”. Antara kumpulan sasaran utama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah dalam kalangan pekerja industri makanan dengan memberikan pendidikan dan kerjasama berterusan bagi memastikan mereka komited dalam melakukan reformulasi produk makanan dan minuman agar kandungan garam dapat dikurangkan. Pihak industri makanan juga diingatkan untuk mematuhi Akta Makanan 1983 yang mewajibkan pelabelan kandungan garam pada produk makanan dan minuman.

Majlis Pelancaran Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2022 peringkat kebangsaan telah diadakan pada 17 Mac 2022 pada pukul 10.00 pagi dan disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi KKM. Majlis yang diadakan secara maya tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan I, Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Noor Azmi Ghazali.

Sementara itu, dalam majlis tersebut juga diadakan sebuah webinar bagi berkongsi maklumat berkaitan dengan garam kepada para penonton. Antara perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Dr. Rosnah Ramly adalah berkaitan dengan garam dan impaknya kepada kesihatan. Selain itu, Pegawai Dietetik, Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Puan Viola Michael juga memberikan penerangan tentang cabaran pengawalan garam dalam diet.

Dalam majlis tersebut juga turut diadakan forum yang bertajuk “Tak Masin Itu Ok!” yang menampilkan tiga orang panel, iaitu Pensyarah Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Hasnah Haron, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keselamatan Kualiti Makanan, Puan Norlida Zulkafly dan Juara Hero Oven 2016, Cef Naem Ramli. Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Dietetik), Bahagian Kawalan Penyakit, Dr. Hamdan Mohamad bertindak selaku moderator forum tersebut.

Forum bersempena dengan sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia.

Majlis yang berlangsung selama lebih kurang dua jam setengah itu turut dimeriahkan dengan tayangan video dan gimik pelancaran sambutan. Diharapkan melalui webinar yang diadakan bersempena dengan pelancaran Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2022 membolehkan masyarakat Malaysia semakin peka dengan pengambilan garam dalam diet harian masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.