19 Mac 2022, 19:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jalan berlubang merupakan satu isu yang telah lama wujud tetapi masih malar untuk dibincangkan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Sering terpampang di dada akhbar tempatan perihal jalan berlubang yang dikatakan menjadi punca kepada kesesakan dan kemalangan jalan raya. Kerosakan ini paling kerap ditemui di jalan luar bandar, iaitu jalan antara bandar yang lebih kecil dan penyelenggaraannya berada di bawah kawalan pihak berkuasa tempatan. Kerosakan jalan raya ini juga sering ditemui di kawasan perumahan yang mana penyelenggaraan jalan raya kurang diberikan perhatian dan lori sering melaluinya untuk membuat penghantaran ke pusat membeli-belah di kawasan tersebut.

Lubang atau lopak ialah lekukan yang terbentuk pada permukaan jalan yang biasanya dibina daripada turapan asfalt. Kepingan permukaan yang telah pecah ini akan teralih dari kedudukan asalnya disebabkan oleh kehadiran kenderaan di atas jalan. Pada kebiasaannya, adanya lubang adalah kerana kehadiran air dalam struktur tanah dasar dan lalu lintas yang melalui kawasan yang terlibat. Dalam ilmu kejuruteraan turapan, air dianggap sebagai “musuh semula jadi” turapan asfalt. Hal ini bermula apabila air melemahkan tanah dasar, dan diikuti dengan kerosakan kelesuan yang disebabkan oleh lalu lintas yang memecahkan permukaan asfalt yang lemah di kawasan yang terlibat. Tambahan pula, lapisan permukaan turapan yang kurang padat juga akan membenarkan air menyusup masuk melalui rongga dan dengan tekanan yang tinggi daripada kenderaan, lama-kelamaan ikatan asfalt akan menjadi lemah dan tertanggal, dan seterusnya terbentuklah lubang.

Lubang biasanya terbentuk pada jalan yang mempunyai permukaan turapan asfalt yang nipis, iaitu sekitar 25 milimeter hingga 50 milimeter. Keadaan ini jarang-jarang berlaku pada jalan yang mempunyai permukaan turapan asfalt sekitar 100 milimeter atau lebih tebal. Tahap kerosakan jalan berlubang ini boleh dikategorikan kepada tiga jenis. Pertama, kerosakan tahap kecil, yakni luas dan kedalaman masing-masing adalah kurang daripada 0.1 meter persegi dan 25 milimeter. Kedua, tahap kerosakan teruk, yakni luas dan kedalaman masing-masing adalah melebihi 0.3 meter persegi dan 50 milimeter. Ketiga, tahap kerosakan sederhana pula berada antara kedua-dua nilai kerosakan kecil dan teruk.

Jalan berlubang mestilah diselenggara sebaik sahaja mula terbentuk. Jangan membiarkannya tanpa dibaiki kerana lubang tersebut akan menjadi kawasan kegagalan turapan lebih besar yang boleh menyebabkan kerosakan kepada kenderaan dan kos liabiliti juga tinggi. Tayar pecah, rim bengkok dan kerosakan terhadap sistem ampaian kenderaan adalah antara kerosakan yang sering terjadi disebabkan oleh jalan berlubang.

Oleh itu, tampalan pada jalan berlubang perlu dilakukan segera untuk mengelakkan berlakunya kerosakan yang lebih teruk. Tampalan merupakan proses mengisi lubang atau kawasan itu digali pada turapan asfalt. Pembaikan segera lubang atau penyepaian turapan lain membantu mencegah kemerosotan yang selanjutnya. Pembaikan turapan ini juga melibatkan kos yang tinggi. Air boleh memasuki tanah asas jika lubang tidak ditampal dan menyebabkan kegagalan turapan yang lebih serius.

Antara bahan yang digunakan untuk tampalan ialah asfalt campuran panas, campuran emulsi asfalt biasa dan terubah suai polimer. Tampalan yang terdiri daripada campuran panas dianggap sebagai pembaikan kekal dan dapat bertahan hingga 12 bulan pada sekitar satu per tiga kos tahunan per tan bahan. Asfalt campuran panas mestilah dipastikan agar cukup panas kerana kualiti campuran akan menurun jika suam atau sejuk sekali gus menjadikan tampalan tidak berkualiti, dan seterusnya akan cepat tercabut atau pecah. Pembaikan ini perlu dilakukan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak penguasa bagi mengelakkan kerosakan berulang dalam jangka masa pendek.

Pembaikan kecemasan lubang jalan biasanya melibatkan penggunaan bahan asfalt campuran sejuk dalam keadaan persekitaran yang teruk. Pembaikan jenis ini dianggap sebagai pembaikan sementara dan berfungsi sebagai langkah perlu dilaksanakan bagi membolehkan lalu lintas bergerak hingga pembaikan tetap dapat dilakukan. Tampalan ini cepat dan murah, tetapi tahan lama antara satu bulan hingga dua bulan. Walau bagaimanapun, ketahanan tampalan ini bergantung pada kualiti bahan yang digunakan.

Pentadbiran Lebuh Raya Persekutuan Amerika Syarikat (FHWA) menyediakan gambaran keseluruhan bagi amalan terbaik yang merangkumi beberapa teknik pembaikan, iaitu lempar-dan-golek, separa kekal, suntikan sembur, dan kedap pinggir. FHWA telah mencadangkan bahawa teknik tampalan yang terbaik adalah melalui prosedur suntikan sembur, diikuti dengan lempar-dan-golek, separa kekal, dan kedap pinggir. Suntikan semburan merupakan kaedah yang paling efektif untuk pembaikan kerosakan turapan yang kecil. Namun begitu, kaedah ini agak kurang popular di Malaysia. Hal ini mungkin kerana melibatkan pembelian peralatan yang khusus dan agak mahal berbanding dengan kaedah pembaikan yang lain. Sebagai contohnya, kaedah separa kekal hanya memerlukan mesin pemadatan bergetar untuk memadatkan bahan campuran.

Seterusnya, terdapat beberapa langkah yang boleh dipraktikkan untuk mengelakkan berlakunya jalan berlubang pada permukaan turapan. Lazimnya, turapan yang berisiko ialah jalan tempatan yang mempunyai standard struktur lebih rendah dan lebih banyak faktor merumitkan seperti utiliti bawah tanah berbanding dengan jalan utama. Pemantauan keadaan turapan perlu dilaksanakan agar tindakan pencegahan awal dapat dilakukan. Tinjauan berkala boleh menangani kerosakan turapan yang mengurangkan kekuatan lapisan asfalt dan membolehkan air menyerap ke dalam turapan.

Selain itu, struktur saliran termasuklah perparitan dan pembetung hujan diperlukan untuk menyingkirkan air daripada turapan. Langkah untuk mengelakkan faktor risiko lain melalui pembinaan termasuklah tapak dan subtapak yang disalir dengan baik bagi mengelakkan tindakan air dan menggalakkan pengeringan struktur tanah. Permukaan turapan mesti mempunyai kecerunan atau sudut yang mencukupi untuk menggalakkan pengaliran air ke sisi. Kawalan retak yang baik dapat mencegah penyusupan air ke dalam struktur tanah turapan.

Penyelenggaraan cegahan menambah keutuhan struktur turapan dengan ketebalan dan keselanjaran kepada campuran yang mencegah penyusupan air serta menggalakkan pergerakan air menjauhi jalan raya. Proses pemotongan turapan untuk tujuan pemasangan utiliti perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kehilangan integriti struktur turapan dan kegagalan yang membenarkan penyusupan air. Tampalan yang dibuat juga perlu sama rata dengan aras asal supaya pemanduan yang selesa dapat dicapai.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan platform bagi kemudahan orang ramai untuk membuat aduan atau menyalurkan maklumat berkaitan dengan kerosakan jalan raya. “Zero Pothole”, “Aduan Potholes DBKL” dan “Aduan Potholes MBI” adalah antara kempen yang telah aktif dilaksanakan. Menurut pihak JKR, melalui kempen ini, kerja penampalan jalan berlubang akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam daripada penemuan atau aduan kerosakan dan dalam tempoh tiga hari bagi pembaikan kekal seperti mana yang termaktub dalam kontrak Penyelenggaraan Jalan Persekutuan.

Namun begitu, kempen kesedaran seperti ini dilihat wajar diperluas kepada kempen “Zero Road Defects”. Hal ini kerana jalan berlubang merupakan satu daripada 17 jenis kerosakan jalan raya yang telah dikenal pasti. Orang ramai perlu segera melaporkan kerosakan kecil jalan untuk mengelakkan penularan kerosakan yang lebih besar lagi. Sebagai contohnya, retakan kecil di permukaan jalan perlu dilaporkan tanpa menunggu sehingga terbentuknya jalan berlubang agar penilaian yang sewajarnya dapat diambil oleh pihak berwajib.

Sementara itu, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian oleh para pemandu ketika berhadapan dengan jalan berlubang. Pastikan memandu dengan berhati-hati apabila melalui jalan yang basah dan melihat setiap lopak air. Hal ini kerana jalan berlubang mungkin kelihatan seperti lopak, terutamanya selepas hujan lebat.

Pada waktu malam pula, daya penglihatan akan semakin berkurangan dan lampu hadapan kenderaan yang datang dari arah bertentangan akan mengurangkan keupayaan kita untuk mengenal pasti jalan berlubang dengan jelas. Tambahan pula, jika kawasan tersebut kurang pencahayaan, pasti akan mengurangkan lagi daya tumpuan. Pengurangan pencahayaan ini mungkin disebabkan oleh gangguan bekalan elektrik, tiada lampu jalan disediakan di kawasan tersebut atau kesan perbuatan jenayah (vandalisme). Pemandu juga mungkin tidak dapat melihat dengan jelas keadaan permukaan jalan yang jauh di luar kawasan kenderaan.

Pemandu juga perlu berwaspada apabila melalui kawasan yang mempunyai tanda amaran. Tanda amaran ini mungkin terdapat pada papan tanda lalu lintas yang menunjukkan adanya penyelenggaraan jalan di kawasan tersebut seperti tompok batuan kerikil di jalan raya sebagai penyelesaian pembaikan cepat untuk menutup jalan berlubang. Perlu diingatkan bahawa jika terdapat satu lubang, mungkin terdapat lebih banyak lagi jalan berlubang di sepanjang kawasan tersebut.

Walaupun pemandu mungkin tidak dapat mengelak daripada memandu di kawasan jalan berlubang, langkah pemanduan dengan berhati-hati dapat mengurangkan tahap kerosakan dan mengelakkan perlanggaran yang lebih teruk. Kurangkan kelajuan apabila memandu pada waktu malam, dalam jarak penglihatan yang terhad dan di jalan yang basah. Kekalkan jarak yang selamat dengan kenderaan di hadapan kerana kita tidak mengetahui cara pemandu di hadapan akan bertindak balas jika melihat jalan berlubang. Jika jarak yang selamat dapat dikekalkan, pemandu dapat menekan brek kereta dengan selamat dan mempunyai pandangan yang lebih baik tentang apa-apa yang berlaku di hadapannya. Pemandu juga perlu memerhatikan keadaan hujan dan air larian hujan. Lubang jalan yang besar boleh mengumpul air hujan dan menjadikan pemandu sukar untuk mengetahui sejauh mana sebenarnya saiz lubang tersebut.

Walaupun isu jalan berlubang ini kelihatan seperti “tak lapuk di hujan, tak lekang di panas”, namun begitu pastinya setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Oleh itu, semua pihak termasuklah pihak kerajaan, pemerintah dan orang ramai mesti memainkan peranan dengan sebaik-baiknya dalam menangani isu jalan berlubang. Rangkaian jalan raya yang baik mampu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mampan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Profesor Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Pahang.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!