7 Mac 2022, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pemanduan jarak jauh biasanya akan menyebabkan pemandu berasa mengantuk dan letih. Walaupun kebanyakan orang mengetahui akan hal ini, pemandu masih bersikap sambil lewa tentang bahayanya memandu dalam keadaan sedemikian. Memandu dalam keadaan mengantuk sama seperti memandu dalam keadaan mabuk.

Orang yang memandu selepas berjaga selama 17 jam hingga 19 jam akan menunjukkan prestasi pemanduan yang lebih buruk daripada pemandu yang mempunyai paras alkohol dalam darah sekitar 0.05 peratus. Berjaga selama 24 jam tanpa tidur pula adalah bersamaan dengan mempunyai paras alkohol dalam darah sekitar 0.10 peratus. Hal ini jauh lebih tinggi daripada had yang dibenarkan oleh undang-undang, iaitu sekitar 0.08 peratus.

Pemandu yang keletihan mungkin akan terlelap sejenak, iaitu apabila pemandu tertidur selama beberapa saat. Keadaan ini sangat berbahaya kerana kegagalan untuk kekal berjaga selama lima saat ketika memandu pada kelajuan 90 km/jam bererti kita memandu sejauh 120 meter sambil tidur. Tempoh ini boleh mengakibatkan kemalangan. Individu yang terlelap sejenak biasanya mengalami tanda amaran awal seperti kerap menguap dan mengelipkan mata, berat mata dan rengsaan mata. Tanda bahaya mutlak adalah jika kita tertidur selama beberapa saat, yang mungkin disebabkan oleh keadaan yang dikenali sebagai terlelap sejenak (microsleep). Pekerja syif, pemandu lori atau trak komersial dan peniaga yang sentiasa melakukan perjalanan atau pemandu kenderaan di bawah umur 25 tahun merupakan kumpulan yang paling berisiko dan terdedah kepada rasa mengantuk semasa memandu.

Tidur adalah satu-satunya penawar untuk keletihan dan mengantuk. Kebanyakan orang dewasa memerlukan tidur sekurang-kurangnya tujuh jam sehari, manakala remaja pula memerlukan tidur sekurang-kurangnya lapan jam. Pemandu yang tidur kurang daripada empat jam berisiko terhadap kemalangan sepuluh kali ganda berbanding dengan pemandu yang mendapat tidur secukupnya. Oleh itu, jangan mulakan perjalanan jarak jauh jika tidak mendapat tidur yang mencukupi atau selepas mengalami tekanan besar. Apabila melakukan perjalanan jauh, pemandu perlu melelapkan mata seketika setiap empat jam. Walaupun begitu, tidur pendek ini hanyalah perlu diambil sekitar 15 minit hingga 20 minit sahaja.

Selain itu, pemandu perlu menyesuaikan masa memandu atau perjalanan untuk mengelakkan titik rendah biologi tubuh, yang ditentukan oleh ritma sirkadian. Titik rendah biologi biasanya adalah antara pukul 2.00 pagi hingga 5.00 pagi dan sekitar pukul 1.00 petang hingga 3.00 petang. Seboleh-bolehnya elakkan daripada memandu untuk jarak yang jauh pada waktu kritikal ini.

Satu daripada petua memandu jarak jauh yang paling penting ialah pemandu perlu memastikan diri dapat berehat pada sela yang tetap. Pemandu juga perlu berhenti rehat selepas memandu bagi setiap dua jam pemanduan ataupun sekitar 160 kilometer (100 batu) jarak perjalanan. Pemandu boleh bersantai dan keluar daripada kenderaan untuk seketika. Berjalan beberapa langkah sambil menghirup udara segar bukan sahaja dapat memberikan peluang untuk meregangkan anggota tubuh, malah boleh meningkatkan bekalan oksigen ke dalam aliran darah. Hal ini meningkatkan kemampuan pemandu untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam pemanduannya. Pemandu juga boleh berhenti rehat di kawasan rehat dan rawat dan hentian. Jangan lupa juga untuk menyegarkan diri dengan membasuh muka sebelum menyambung perjalanan.

Sementara itu, makanan yang sesuai turut mempengaruhi keadaan pemandu. Jangan memandu ketika lapar atau kenyang. Makan sedikit kudapan ketika memandu kerana dapat memberikan tenaga. Walau bagaimanapun, berhenti untuk makan banyak adalah tidak digalakkan kerana keadaan ini akan mengundang rasa mengantuk. Pemandu juga perlu sentiasa minum air dengan secukupnya. Tindakan ini harus dilakukan sepanjang masa dan bukan ketika memandu sahaja. Pengambilan alkohol mestilah dielakkan kerana boleh menjejaskan lagi keupayaan seseorang itu untuk berjaga dan membuat keputusan. Memandu selepas minum alkohol walaupun hanya segelas boleh menjejaskan tahap keletihan seseorang.

Ada baiknya sekiranya pemandu dapat melakukan perkara lain ketika memandu jarak jauh selagi aktiviti ini tidak mengalihkan perhatiannya daripada jalan raya. Sebagai contohnya, audio yang menarik dapat menyegarkan minda pemandu ketika memandu. Selain itu, adalah lebih baik jika pemandu mempunyai rakan untuk berbual atau seseorang yang dapat menghiburkan dan sedar jika pemandu mula berasa letih. Dalam senario yang ideal, rakan tersebut boleh mengambil alih pemanduan dan tiba di destinasi dengan selamat.

Kita juga perlu berhati-hati apabila memandu selepas mengambil ubat-ubatan tertentu. Sebagai contohnya, ubat tidur, ubat psikoaktif, analgesik, dan ubat alergi memberikan kesan terhadap kesihatan pemandu. Begitu juga jika pemandu mengalami keadaan perubatan seperti keletihan kronik atau gangguan tidur. Pemandu digalakkan untuk menghubungi doktor atau ahli farmasi jika berasa tidak pasti dengan kesan ubat tersebut. Jika pemandu mengalami masalah tidur yang kerap, dapatkan nasihat daripada doktor untuk mengetahui penyebab masalah tersebut. Kadangkala simptom kecil seperti keletihan juga boleh menjadi tanda masalah kesihatan yang lebih besar, misalnya apnea tidur atau narkolepsi.

Terdapat beberapa cara yang boleh mengurangkan rasa mengantuk semasa memandu. Walau bagaimanapun, cara ini terpakai untuk jangka masa pendek sahaja dan mungkin akan kembali kepada keadaan asal selepas beberapa ketika. Caranya adalah dengan minum minuman seperti kopi, teh atau minuman isotonik. Minuman ini dikatakan boleh meningkatkan daya fokus selain membekalkan tenaga. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kafein mengambil masa hingga 30 minit untuk memberikan kesannya dan mengurangkan rasa mengantuk. Namun begitu, jumlah kafein di dalam setiap cawan mungkin berbeza.

Selain kopi, pemandu juga boleh menyediakan snek dan makanan ringan seperti kekacang, gula-gula atau potongan buah kerana mengunyah itu dapat mengelakkan rasa mengantuk. Seterusnya, pemandu juga boleh membuka tingkap semasa memandu. Bunyi angin yang kuat serta angin sejuk yang menerpa muka mampu membuatkan pemandu berasa segar semula. Radio juga boleh membantu pemandu bagi mengelakkan rasa mengantuk dan sunyi dengan syarat tidak memilih lagu yang mendayu-dayu. Pemandu juga boleh menguatkan bunyi radio itu jika perlu.

Sekiranya pemandu masih berasa letih, maka perlulah berhenti memandu. Tangguhkan sebentar perjalanan dan meneruskan perjalanan selepas berehat. Cara yang terbaik untuk menangani masalah kekurangan tidur adalah dengan mendapatkan tidur yang mencukupi.

Profesor Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!