24 Januari 2022, 18:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Program Jom Berinteraksi Sembang-sembang Denggi telah bersiaran langsung pada 22 Januari 2022 menerusi aplikasi Zoom mbermula pada pukul 10.00 pagi hingga pukul 11 pagi. Secara keseluruhannya, program anjuran dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Institute for Clinical Research (ICR), Malaysian Society of Infection Control and Infectious Diseases (MyICID) dan National Institutes of Health (NIH) ini membincangkan tentang persoalan penting berkaitan dengan penyakit denggi di Malaysia.

Program yang berlangsung selama satu jam ini menampilkan ahli panel yang terdiri daripada empat orang doktor pakar, iaitu Dr. Jenarun Jelip, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Ketua Sektor Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, KKM; Dr. Thahira A. Jamal Mohamed, Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Pediatrik, Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur; Dr. Ho Bee Kiau, Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Bandar Botanik, Klang; dan Dr. Alif Adlan Mohd Thabit, Pakar Penyakit Berjangkit, Hospital Selayang, Selangor.

Menurut Dr. Jenarun Jelip yang juga bertindak sebagai moderator program ini, secara umumnya penyakit denggi di Malaysia telah disebarkan oleh gigitan nyamuk Aedes betina. Selain itu, penyakit denggi merupakan penyakit virus yang berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes yang dicirikan dengan sakit kepala, demam, sakit sendi, dan ruam. Tiada rawatan atau ubatan khusus digunakan untuk merawat penyakit denggi. Dalam masa yang sama, vaksin yang berkesan untuk digunakan bagi mencegah penyakit denggi belum ditemui hingga kini.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh KKM, pencapaian kes denggi di Malaysia pada tahun 2021 menunjukkan penurunan kes sebanyak 70 peratus (26 365 kes) berbanding dengan peningkatan jumlah kes denggi sebanyak 90 304 pada tahun 2020. Kadar kematian kes bagi kes denggi di Malaysia pula mencatatkan sebanyak 0.08 peratus (8/10 000 kes). Kadar kematian kes denggi pada tahun 2021 telah mencatatkan penurunan drastik berbanding dengan tahun sebelumnya.

Tambah Dr. Jenarun Jelip lagi, pemantauan yang dilakukan oleh KKM menunjukkan bilangan laporan kes denggi yang berlaku di Malaysia berdasarkan trend gelombang yang berlaku antara empat tahun dan lima tahun sekali. Gelombang kes denggi yang tinggi berlaku pada tahun 2015, manakala kes denggi yang kedua tertinggi berlaku pada tahun 2019. Oleh itu, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh KKM, kemuncak gelombang kes denggi seterusnya akan berlaku pada tahun 2023 dan tahun 2024. Walau bagaimanapun, penurunan kes denggi dengan drastik pada tahun 2021 merupakan satu usaha terbaik rakyat Malaysia untuk terus memerangi penyakit denggi di Malaysia.

Trend kes denggi di Malaysia dari tahun 2013 hingga tahun 2021.

Sementara itu, Dr. Ho Bee Kiau dan Dr. Thahira A. Jamal Mohamed berkata, simptom penyakit denggi mempunyai dua fasa. Pada fasa permulaan, pesakit denggi akan mengalami demam, loya, muntah, sengal badan, ruam, kurang selera makan dan minum, cirit-birit, lesu, dan kurang aktif. Bagi fasa kritikal pula, pesakit denggi akan berasa lebih tenat walaupun demam sudah berkurangan. Dalam fasa ini, pesakit denggi akan mengalami sakit perut yang serius, muntah, cirit-birit yang berterusan, kelesuan, pendarahan ketika menggosok gigi dan berlaku pendarahan dalam gusi.

Menurut Dr. Alif Adlan Mohd Thabit, terdapat penyakit lain yang menyerupai penyakit denggi seperti penyakit Influenza, demam campak dan cirit-birit. Oleh sebab itu, gejala penyakit denggi bermula dengan demam.

Selain itu, tiada simptom khas untuk kanak-kanak yang mengalami serangan sawan lebih daripada sekali dalam penyakit demam jika dibandingkan dengan penyakit lain. Oleh itu, pesakit denggi dan orang ramai yang berada di kawasan kejiranan harus berwaspada dengan Indeks Kes Denggi yang Tinggi dan peningkatan kes denggi yang berlaku di tempat tinggal masing-masing. Lazimnya, penyakit denggi dikesan seperti penyakit demam yang melebihi tiga hari. Oleh itu, ujian spesifik dijalankan terhadap pesakit denggi.

Sakit perut diikuti dengan lesu dan pendarahan, tidak bermaya, ibu yang kurang menyusu dan minum, bintik-bintik merah, hidung berdarah, muntah yang berterusan, najis berdarah, haid yang teruk, sakit perut yang berlanjutan, resah, sawan, keadaan kaki dan tangan yang pucat, badan sentiasa sejuk, susah bernafas dan kurang membuang air kecil merupakan tanda bahaya yang dialami oleh pesakit denggi.

Dr. Ho Bee Kiau turut menegaskan bahawa ibu bapa tidak boleh memberikan ubat yang tergolong dalam ubat antiradang bukan steroid (NSAID), iaitu aspirin dan supositori voltaren kepada anak-anak yang menghidap demam denggi. Selain itu, ibu bapa juga tidak boleh memberikan ubat steroid dan ubat antibiotik kepada anak-anak yang menghidap demam denggi. Oleh itu, langkah terbaik yang perlu diambil adalah dengan memberikan rehat yang secukupnya dan memastikan anak-anak meminum air masak sebanyak enam gelas hingga lapan gelas sehari Minuman seperti susu, air barli dan air kelapa boleh diberikan kepada anak-anak yang mengalami demam denggi. Tegasnya, ibu bapa boleh memberikan ubat demam mengikut dos yang disarankan oleh doktor jika perlu.

Orang ramai boleh mencegah jangkitan denggi pada peringkat individu dan keluarga bermula dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Oleh yang demikian, tempat pembiakan nyamuk harus dibersihkan, selain membuang air takungan di semua tempat takungan yang terbiar. Penggunaan  bahan pembunuh jejentik untuk memusnahkan pembiakan nyamuk harus diletakkan di tempat takungan air yang tidak boleh dibuang seperti tangki simpanan air di rumah.

Dr. Ho Bee Kiau berpandangan bahawa kesedaran untuk membersihkan tempat pembiakan nyamuk dan tempat takungan air semasa pandemik COVID-19 ini merupakan satu kesedaran kendiri yang tinggi. Persekitaran di rumah sendiri juga harus dibersihkan dengan baik menerusi tanggungjawab kendiri. Tindakan ini sekali gus dapat mengelakkan orang ramai berkumpul dan mencetuskan kluster baharu yang boleh menyebabkan penularan penyakit COVID-19 berlaku di kawasan kejiranan.

Seterusnya, Dr. Alif Adlan Mohd Thabit berkata, pesakit denggi yang mengamalkan minuman isotonik berkarbonat perlu membuang gas dalam minuman itu terlebih dahulu. Dr. Ho Bee Kiau pula menjelaskan bahawa semua doktor tidak menggalakkan minuman isotonik tersebut kerana kandungan gulanya yang tinggi akan menyebabkan dehidrasi dan mendatangkan kesan bahaya terhadap penyakit kencing manis atau pesakit diabetes.

Dr. Alif Adlan Mohd Thabit turut menyatakan bahawa serangan penyakit denggi yang berbahaya adalah berdasarkan komplikasi denggi yang bersifat pendarahan sehingga menyebabkan salur darah dalam tubuh manusia mengalami kebocoran.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!