Oleh Aninah Janang
14 Disember 2021, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Setelah lebih sebulan pentas Persidangan ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland, digemakan dengan ucapan berbahasa Melayu daripada Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, pada hari ini beliau melangkah ke Menara Dewan Bahasa dalam kunjungannya bagi menyatakan penghargaan atas sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan bahasa Melayu ke pentas dunia.

Kehadiran YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man diraikan oleh pengurusan tertinggi DBP yang diketuai oleh Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP; Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Tuan Haji Md. Johari Hassan; dan Pengarah Jabatan Penerbitan, Tuan Haji Razali Che Mat. Dalam kunjungan tersebut, DBP menyifatkan YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai “Wira Bahasa” yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia setelah beliau membuktikan keberanian dan keyakinannya untuk berucap penuh dalam bahasa kebangsaan di pentas UNFCCC COP-26, pada 10 November lalu.

DBP melihat tindakan YB berucap dalam bahasa kebangsaan bukan sahaja sebagai bukti keberanian negara, malah iltizam yang cukup besar daripada seorang pemimpin. Bagi kami di DBP dan rakan-rakan pejuang bahasa kebangsaan, tindakan YB berucap dalam bahasa kebangsaan di persidangan antarabangsa di Glasgow sebagai satu kemenangan yang besar terhadap bahasa Melayu, iaitu membuktikan bahawa bahasa Melayu sebagai tonggak tamadun negara yang sudah berakar dan tidak boleh diperkecilkan. Kalau kita hendak melihat kesinambungan peradaban negara pada masa akan datang, maka kita perlu terus memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai amalan dan usaha ini perlu dilaksanakan juga oleh pemimpin lain di negara ini,“ ujar Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ucapannya sebagai mengalu-alukan kehadiran YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

UNFCCC COP-26 merupakan persidangan yang diadakan pada setiap tahun untuk membincangkan dan menentukan dasar dan tindakan terhadap perubahan iklim global. Mesyuarat UNFCCC COP yang pertama telah diadakan di Berlin, Jerman pada Mac 1995. Sejak itu, amalan pemimpin negara berucap menggunakan bahasa negara masing-masing sudah lama diamalkan oleh kebanyakan pemimpin negara seperti Republik Rakyat China, Jerman, Rusia, Perancis, dan Indonesia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.