14 Disember 2021, 19:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan bersama-sama membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam mengangkat martabat bahasa Melayu di peringkat kerajaan dan seterusnya di persada antarabangsa,” kata YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air dalam sesi kunjungan hormatnya ke DBP pada hari ini.

YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan bahawa kerajaan sangat positif dan menyambut baik segala usaha yang dijalankan dalam memperkasakan bahasa Melayu.

Beliau menambah, antara langkah awal yang dipersetujui pihak kerajaan adalah dengan meningkatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua program rasmi termasuklah seminar di peringkat antarabangsa.

Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sesi kunjungan hormat ke DBP pada hari ini.

Oleh itu, beliau berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih dengan penghormatan yang diberikan oleh DBP melalui surat rakaman penghargaan yang diterimanya atas usaha memartabatkan bahasa Melayu.

“Hal ini memberikan suatu semangat kepada saya secara peribadi dan rakan-rakan pejuang bahasa yang lain. Saya akui bahawa kekuatan dan hala tuju sesuatu bahasa itu terletak pada bahu para pemimpin. Semasa saya hadir di Glasgow, kebanyakan pemimpin dunia tampil bangga akan bahasa kebangsaan mereka.”

Dalam sesi kunjungan hormat beliau ke DBP pada hari ini, antara perkara yang dibincangkan ialah usaha sama antara KASA dengan DBP dalam bidang peristilahan berkaitan dengan alam sekitar dan perubahan iklim, penerbitan buku dan kegiatan serta program pengembangan bahasa Melayu.

Terdahulu, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menggunakan bahasa Melayu ketika menyampaikan ucapan dalam Persidangan ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland pada 10 November lalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.