13 Disember 2021, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Agensi Nuklear Malaysia giat menjalankan aktiviti pengkomersialan dan pemindahan teknologi bagi produk dan khidmat hasil penyelidikan dan pembangunan dalam bidang teknologi nuklear. Pada setiap dua tahun sekali, agensi ini akan mengadakan Pameran Perdana Teknologi Nuklear (TPS) bagi memperlihatkan kepada masyarakat umum tentang produk dan khidmat teknologi yang dihasilkan.

Pada tahun ini, pameran yang bertemakan “STIE Nuklear: Teguh Mendepani Krisis” buat pertama kalinya berlangsung secara maya selama dua hari, iaitu pada 13 Disember 2021 hingga 14 Disember 2021 berikutan pandemik COVID-19 yang melanda Malaysia.

Tujuan utama TPS diadakan adalah untuk menghimpunkan saintis, penyelidik dan pengamal terkemuka, pemain industri, dan para pelajar, dalam suatu platform yang unik bagi bersama-sama berkongsi pengalaman dan penemuan penyelidikan, khususnya dalam bidang sains dan teknologi nuklear, termasuklah penyelidikan dan pembangunan yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Sementara itu, pameran ini juga menyediakan platform untuk penyelidik, pengamal, pemain industri tempatan atau antarabangsa bagi mempelajari dan mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan kepakaran, produk, perkhidmatan, serta kemudahan yang ditawarkan oleh Agensi Nuklear Malaysia.

TPS 2021 yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Datuk Zainal Abidin Abu Hassan telah menyediakan pelbagai aktiviti kepada para pengunjung secara maya, termasuklah pameran inovasi dan kreativiti nuklear Malaysia, pameran produk dan khidmat nuklear Malaysia, pameran poster dan ceramah pengurusan pengetahuan, webinar pengkomersialan dan pemindahan teknologi, seminar harta intelek, simposium pengurusan kualiti, serta sembang santai saintis.

Keluarga Malaysia yang berminat boleh mendaftar dan melayari laman sesawang www.tpsnuclear.com bagi menyertai TPS ini. Pelbagai kuiz dan hadiah menarik serta sijil penyertaan turut disediakan.

(Sumber: Facebook Agensi Nuklear Malaysia)
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.