23 September 2021, 08:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berdasarkan hantaran Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kaedah pemberian vaksin secara walk-in berjadual kepada remaja yang berumur antara 12 tahun hingga 17 tahun akan bermula pada hari ini, 23 September 2021.

Kaedah ini digunakan bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Sebanyak 156 buah PPV, iaitu 142 buah PPV awam dan 14 buah PPV integrasi di seluruh negara akan menerima kehadiran para remaja untuk mendapatkan suntikan vaksin. Kaedah vaksinasi secara walk-in berjadual ini bukan bermaksud remaja bebas memilih mana-mana PPV bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Menurut Dato’ Dr. Noor Azmi Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan I, kaedah walk-in berjadual ini dilaksanakan dengan kerjasama pihak sekolah selepas perbincangan bersama-sama pihak Pejabat Kesihatan Daerah yang menetapkan tarikh dan masa tertentu untuk seseorang pelajar itu ke PPV yang terdekat dengan lokasi sekolah.

Kata beliau lagi, pihak sekolah akan mengeluarkan jadual untuk memudahkan ibu bapa atau penjaga membawa remaja berkenaan mengambil vaksin secara walk-in mengikut masa, tarikh dan PPV yang telah ditetapkan.

Beliau turut menyatakan bahawa Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) mensasarkan untuk memberikan vaksin lengkap kepada 3.2 juta remaja dalam tempoh tiga bulan ini atau sekurang-kurangnya 80% sebelum sesi persekolahan tahun 2022 dibuka. Kaedah walk-in berjadual ini adalah antara usaha untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin.

Kaedah utama pemberian vaksin di bawah PICK-Remaja adalah melalui program jangkau luar di sekolah dan institusi secara berjadual dengan penglibatan KKM, pengamal perubatan swasta dan Badan Bukan Kerajaan kesihatan. Dato’ Dr. Noor Azmi Ghazali juga berkata “Kami akan mengadakan program jangkau luar untuk remaja yang terlantar di rumah dan remaja di kawasan pedalaman.”

Dato’ Dr. Noor Azmi Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan I dalam program Bicara Naratif yang membincangkan topik PICK Remaja 12 tahun hingga 17 tahun dan penubuhan CITF-A.

(Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.