16 September 2021, 12:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Sebanyak 39 orang pelajar tajaan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) di bawah program Malaysia Japan Higher Education (MJHEP) telah berlepas ke Jepun untuk menyambung pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda selama dua tahun. Daripada 39 orang pelajar tersebut, sebanyak 19 orang pelajar akan mengikuti jurusan kejuruteraan elektrikal dan elektronik, manakala sebanyak 20 orang pelajar akan mengikuti jurusan kejuruteraan mekanikal di 13 buah universiti terpilih di seluruh Jepun.

Kesemua pelajar ini merupakan kumpulan kelapan, iaitu kumpulan terakhir bagi program MJHEP yang akan melanjutkan pengajian ke universiti di Jepun. Para pelajar menjalani kuarantin di Hotel Tanera, Bangi pada 12 September 2021 hingga 14 September 2021 dan selesai menjalani ujian COVID-19 sebelum berangkat ke Jepun.

Di Jepun, para pelajar akan disambut oleh pihak Japan University Consortium for Transnational Education (JUCTe) dan akan diuruskan sepenuhnya oleh mereka tanpa pengiring dari Malaysia berikutan prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi. Para pelajar perlu melakukan ujian COVID-19 dan Ujian Tuberkulosis (TB) mengikut keperluan yang telah digariskan oleh Ministry of Foreign Affairs, Jepun. Berikutan pandemik COVID-19, pengajian para pelajar yang dijangka tamat pada bulan Mac 2023 akan berakhir setahun lewat, iaitu pada bulan Mac 2024. Hal ini demikian kerana penerbangan ke Jepun pada akhir bulan Mac 2021 ditunda akibat pandemik ini.

Sesi pengajian semester 1 di Jepun akan bermula pada bulan April setiap tahun. Program MJHEP merupakan program Fasa Keempat di bawah Dasar Pandang ke Timur yang bermula pada tahun 2011 hingga tahun 2023. Sejak tahun 2011, program MJHEP berjaya melahirkan sebanyak 797 orang graduan yang terdiri daripada graduan pada peringkat ijazah sarjana muda (623 orang), ijazah sarjana (145 orang) dan ijazah kedoktoran (29 orang).

Pengerusi Eksekutif YPM, Dato’ Dr. Mohd Nizar Haji Sudin menyampaikan amanat beliau kepada kesemua pelajar melalui taklimat pada 7 September 2021 secara dalam talian. Beliau berkata, “Ambil peluang ini untuk belajar dan selami cara pemikiran masyarakat Jepun sehingga mereka menjadi sebuah negara yang gah dalam bidang teknologi”. Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya dan berharap agar para pelajar akan terus cemerlang dalam pelajaran masing-masing.

 

Para pelajar tajaan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) di bawah program Malaysia Japan Higher Education (MJHEP) ke Jepun.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.