3 September 2021, 09:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Permintaan terhadap kit ujian pantas antigen COVID-19 dijangka meningkat susulan kesedaran orang ramai untuk membuat ujian kendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak COVID-19. Oleh hal yang demikian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama dalam melaksanakan penentuan harga borong dan runcit bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 tersebut.

Kit ujian pantas antigen COVID-19 yang akan dikawal merupakan peranti yang diluluskan secara bersyarat oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), KKM bagi pengesanan antigen yang menyebabkan virus COVID-19 dengan menggunakan sampel bendalir mulut atau swab hidung.

Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup yang kian meningkat pada masa ini dan sebagai tanda sokongan dalam menangani wabak COVID-19, KPDNHEP akan membuat kawalan harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 yang akan berkuat kuasa pada 5 September 2021 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Harga kit ujian pantas antigen COVID-19.

Penentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas antigen COVID-19 ini dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan dalam pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.

Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Individu boleh didenda oleh mahkamah hingga RM100 000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun hingga RM50 000.00. Bagi syarikat pula, boleh didenda hingga RM500 000.00 atau dikompaun hingga RM250 000.00.

Pengguna boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP jika mendapati peniaga tidak mematuhi undang-undang ini. Pelbagai medium penyaluran aduan disediakan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan dengan isu harga. KPDNHEP turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat dalam usaha menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

Medium penyaluran aduan berkaitan dengan isu harga.

(Sumber: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Kesihatan Malaysia)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.