21 Mac 2023, 17:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 0.05 peratus penurunan kes demam denggi berlaku pada Minggu Epidemiologi ke-11 tahun 2023, iaitu jumlah kes demam denggi yang direkodkan adalah sebanyak 2151 kes berbanding dengan 2152 kes pada minggu sebelumnya serta tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu ini.

Hingga kini, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 23 753 kes berbanding dengan 7364 kes untuk tempoh yang sama bagi tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 16 389 kes (222.6 peratus), manakala sebanyak 16 kematian akibat demam denggi dilaporkan berbanding dengan tiga kematian untuk tempoh yang sama, iaitu berlaku peningkatan sebanyak 13 kematian (433.3 peratus).

“Jumlah lokaliti kawasan panas (hotspot) denggi adalah sama seperti minggu sebelumnya, iaitu sebanyak 91 lokaliti dengan 54 lokaliti di Selangor, 16 lokaliti di Pulau Pinang, 11 lokaliti  di Sabah, lima lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga lokaliti di Perak dan masing-masing satu lokaliti di Kedah dan Negeri Sembilan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan.

Sementara itu, jumlah kumulatif kes Chikungunya hingga kini adalah sebanyak 106 kes. termasuklah lima kes survelen Chikungunya dari Johor dan dua kes survelen Chikungunya dari Selangor yang direkodkan pada minggu ini.

Seterusnya, bagi survelan zika pula, sebanyak 539 sampel darah dan empat sampel urin saringan zika telah dijalankan dan hasilnya menunjukkan negatif bagi kesemua sampel berkenaan.

“Bilangan pengunjung ke tempat tumpuan awam seperti bazar Ramadan dan premis perniagaan yang biasanya dikunjungi pada lewat petang bersempena dengan bulan Ramadan pastinya akan meningkat, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko gigitan nyamuk aedes,” ujar YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Pengunjung digalakkan untuk menggunakan bahan repelan nyamuk pada kulit dan anggota badan yang terdedah bagi mencegah gigitan nyamuk, menjaga kebersihan persekitaran serta melupuskan semua bekas yang berpotensi menyebabkan pembiakan nyamuk seperti tempurung, kulit kelapa, bekas makanan dan minuman di tempat pelupusan yang disediakan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.