Diterbitkan pada 20 Julai 2026, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Puncak Alam – Larian maya UiTM Fitness For All Virtual Run (UFAVRun) 2026 anjuran Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Pusat Fisioterapi serta Pusat Rehabilitasi dan Perkhidmatan Klinikal akan berlangsung dari 8 September 2026 hingga 5 Oktober 2026 sebagai usaha menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif melalui aktiviti fizikal.

Program yang diadakan bersempena dengan Hari Fisioterapi Sedunia 2026 itu terbuka kepada penyertaan individu daripada semua peringkat umur, sekali gus memberikan peluang kepada orang ramai menyertai aktiviti kecergasan mengikut masa dan lokasi yang bersesuaian.

Menurut penganjur, UFAVRun 2026 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan aktiviti fizikal dalam mengekalkan tahap kesihatan, di samping menyemai budaya gaya hidup aktif sebagai amalan harian.

Konsep larian maya ini membolehkan para peserta melaksanakan aktiviti berlari atau berjalan di mana-mana lokasi pilihan sepanjang tempoh program ini berlangsung tanpa perlu terikat kepada satu lokasi tertentu.

Kata penganjur,

Setiap langkah yang diambil merupakan satu langkah ke arah masa hadapan yang lebih sihat dan program ini diharapkan menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus bergerak aktif dan menjadikan kecergasan sebagai sebahagian daripada rutin harian.

Program itu turut menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan fisioterapi dan aktiviti fizikal dalam pencegahan, pengurusan serta rehabilitasi penyakit kardiovaskular dan strok, sekali gus membantu meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat.

Peserta yang berjaya menamatkan cabaran larian akan menerima pingat penamat eksklusif dan sijil penyertaan elektronik sebagai penghargaan atas komitmen mereka.

Para peserta turut berpeluang menyertai cabutan bertuah yang disediakan oleh pihak penganjur dan nama mereka akan dipaparkan dalam senarai kedudukan sebagai pengiktirafan terhadap penyertaan masing-masing.

Ujar penganjur,

UFAVRun 2026 ini diharapkan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga UiTM dan masyarakat umum, sekali gus memperkukuh usaha membudayakan aktiviti fizikal dalam kalangan rakyat, selaras dengan aspirasi “Fitness For All, Health For Life” yang menjadi slogan program.

Program itu dijangkakan menghimpunkan penyertaan daripada warga UiTM serta masyarakat umum yang berkongsikan komitmen untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat dan aktif, sejajar dengan objektif sambutan Hari Fisioterapi Sedunia dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan fisioterapi dan aktiviti fizikal bagi membantu mencegah, mengurus, memulihkan penyakit kardiovaskular dan strok serta meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.

Poster rasmi UFAVRun 2026, iaitu program larian maya bersempena dengan sambutan Hari Fisioterapi Sedunia 2026 yang terbuka kepada penyertaan individu daripada semua peringkat umur.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi