Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – Karnival Minggu Sains Negara (MSN) Zon Timur 2026 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) menyemarakkan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda menerusi pelbagai aktiviti interaktif yang berlangsung dari 18 hingga 20 Julai 2026 di PSKT.
Menurut MOSTI dalam satu kenyataan, majlis pelancaran karnival berkenaan yang berlangsung pada 19 Julai 2026 telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Azmi Mohamad Daham di Auditorium PSKT.
Program MSN 2026 merupakan inisiatif utama kerajaan untuk memperkukuh budaya STI, selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 melalui usaha membudayakan STI secara inklusif, memperkasakan bakat masa hadapan, mengukuhkan ekosistem inovasi serta mengiktiraf sumbangan dalam bidang sains.
Dalam kenyataan itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBhg. Dato’ Ruziah Shafei berkata, program pembudayaan STI yang dilaksanakan bertujuan untuk memupuk minat dan kecintaan terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sejak usia muda, sekali gus mengubah persepsi bahawa sains merupakan bidang yang sukar serta meningkatkan penyertaan pelajar dalam aliran sains bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara pada masa hadapan.
Penganjuran MSN 2026 secara fizikal diadakan di lima zon utama negara, iaitu utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak bermula Jun 2026 hingga Oktober 2026, dengan zon timur memperlihatkan kerjasama erat antara MOSTI, PSKT, institusi pengajian tinggi, industri serta pelbagai agensi tempatan.
Karnival pada kali ini turut memperkenalkan elemen baharu menerusi advokasi nuklear yang memberikan pendedahan tentang penggunaan teknologi nuklear serta manfaatnya kepada masyarakat dalam pelbagai sektor.
Dalam karnival tersebut, MOSTI turut melancarkan Platform Sains Rakyat menerusi portal Sains Rakyat yang membolehkan orang awam menyumbang kepada pengumpulan, pemerhatian dan analisis data saintifik negara.
Melalui penganjuran karnival ini, MOSTI terus komited meningkatkan literasi STI dalam kalangan masyarakat sebagai pemacu kesejahteraan, inovasi dan pembangunan negara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.