Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMoscow – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk memperluas kerjasama dalam sektor tenaga yang dilihat sebagai antara bidang penting bagi kedua-dua negara, selain membincangkan peluang baharu dalam bidang teknologi dan ekonomi.
Menurut YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Malaysia menghargai komitmen Rusia dalam menawarkan kerjasama jangka masa panjang berkaitan dengan bekalan tenaga dan minyak yang mampu menyumbang kepada keterjaminan tenaga negara pada masa hadapan.
Katanya,
Kami juga bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan, pertanian moden dan farmaseutikal.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memudahkan cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa serta meneroka mekanisme bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala dengan menggunakan mata wang tempatan, iaitu Ringgit dan Ruble.
Langkah tersebut dilihat mampu mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia–Rusia, di samping mengurangkan kebergantungan pada mata wang asing dalam urusan perdagangan antara kedua-dua negara.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memastikan keterjaminan tenaga negara sentiasa berada pada tahap terbaik melalui kerjasama antarabangsa yang kukuh.
Katanya, usaha itu penting bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga negara demi kesejahteraan rakyat serta pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang.
Pertemuan berkenaan turut mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama strategik dalam pelbagai sektor yang memberikan manfaat bersama.