Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBukit Antarabangsa – Dalam usaha mencegah penularan denggi, program Trash Hero Ampang Jaya telah dianjurkan melibatkan kerjasama antara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan pelajar tahun satu Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, KDEB Waste Management Sdn. Bhd. dan ahli komuniti Bukit Utama 2.

Program yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Yang Berhormat (YB) Tuan Mohd Kamri Kamaruddin itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat termasuklah ploging, yakni aktiviti gabungan antara berlari dengan memungut sampah yang bertujuan memupuk amalan hidup sihat dan membantu membersihkan kawasan sekitar.

Sepanjang program berlangsung, para peserta ditugaskan untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes dan barangan yang boleh dikitar semula diasingkan dan ditimbang untuk tujuan kitar semula, sekali gus menjadikan program tersebut lebih mesra alam dan mendidik masyarakat tentang kepentingan pengurusan sisa yang baik.

Menerusi aktiviti ploging tersebut, jumlah sampah yang terkumpul adalah sebanyak 133.2 kilogram (kg) dengan pecahan 63.2 kg sampah kitar semula, manakala 70 kg sampah tabur untuk dihantar ke tempat pelupusan.

Untuk acara kemuncak pula, sesi pemberian ikrar komuniti kepada ahli komuniti Bukit Utama 2 telah diadakan untuk memastikan mereka komited dalam menjaga kebersihan kawasan persekitaran dan mengambil langkah pencegahan denggi secara berterusan.
Pemberian ikrar komuniti tersebut telah diberikan kepada Pengerusi Taman Bukit Utama 2, Encik Badrulisham Mohd Akhirin oleh Pensyarah Kanan UITM Puncak Alam, YBrs. Profesor Madya Dr. Nazri Che Dom.

Dalam program yang sama, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam turut mengadakan pameran, taklimat berkaitan dengan denggi dan memberikan pendedahan terhadap pendidikan kesihatan penjagaan alam sekitar.
Program tersebut bukan sahaja mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli komuniti tempatan, malah berjaya meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran dan mencegah penyakit denggi.
Dengan adanya kerjasama erat antara pihak berkuasa dengan pelajar, syarikat pengurusan sisa dan komuniti, kini Bukit Antarabangsa berada pada landasan yang betul untuk menjadi sebuah kawasan yang lebih bersih.