1 Jun 2024, 08:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Antarabangsa – Dalam usaha mencegah penularan denggi, program Trash Hero Ampang Jaya telah dianjurkan melibatkan kerjasama antara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan pelajar tahun satu Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, KDEB Waste Management Sdn. Bhd. dan ahli komuniti Bukit Utama 2.

Para pelajar UiTM Puncak Alam yang menyertai program Trash Hero Ampang Jaya.

Program yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Yang Berhormat (YB) Tuan Mohd Kamri Kamaruddin itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat termasuklah ploging, yakni aktiviti gabungan antara berlari dengan memungut sampah yang bertujuan memupuk amalan hidup sihat dan membantu membersihkan kawasan sekitar.

ADUN Bukit Antarabangsa, YB Tuan Mohd Kamri Kamaruddin melawat pameran kesedaran tentang denggi.

Sepanjang program berlangsung, para peserta ditugaskan untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes dan barangan yang boleh dikitar semula diasingkan dan ditimbang untuk tujuan kitar semula, sekali gus menjadikan program tersebut lebih mesra alam dan mendidik masyarakat tentang kepentingan pengurusan sisa yang baik.

Aktiviti pengasingan sisa yang boleh dikitar semula.

Menerusi aktiviti ploging tersebut, jumlah sampah yang terkumpul adalah sebanyak 133.2 kilogram (kg) dengan pecahan 63.2 kg sampah kitar semula, manakala 70 kg sampah tabur untuk dihantar ke tempat pelupusan.

Sebahagian daripada peserta program sedang mengutip sampah dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Untuk acara kemuncak pula, sesi pemberian ikrar komuniti kepada ahli komuniti Bukit Utama 2 telah diadakan untuk memastikan mereka komited dalam menjaga kebersihan kawasan persekitaran dan mengambil langkah pencegahan denggi secara berterusan.

Pemberian ikrar komuniti tersebut telah diberikan kepada Pengerusi Taman Bukit Utama 2, Encik Badrulisham Mohd Akhirin oleh Pensyarah Kanan UITM Puncak Alam, YBrs. Profesor Madya Dr. Nazri Che Dom.

Sesi pemberian ikrar komuniti bebas denggi oleh Pensyarah Kanan UiTM Puncak Alam, YBrs. Profesor Madya Dr. Nazri Che Dom (kiri) kepada Pengerusi Taman Bukit Utama 2, Encik Badrulisham Mohd Akhirin (kanan).

Dalam program yang sama, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam turut mengadakan pameran, taklimat berkaitan dengan denggi dan memberikan pendedahan terhadap pendidikan kesihatan penjagaan alam sekitar.

Program tersebut bukan sahaja mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli komuniti tempatan, malah berjaya meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran dan mencegah penyakit denggi.

Dengan adanya kerjasama erat antara pihak berkuasa dengan pelajar, syarikat pengurusan sisa dan komuniti, kini Bukit Antarabangsa berada pada landasan yang betul untuk menjadi sebuah kawasan yang lebih bersih.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.