Diterbitkan pada 3 Julai 2026, 10:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Jururawat perlu peka dalam mengenal pasti tanda awal delirium dalam kalangan pesakit strok kerana keadaan yang sering disalah anggap sebagai kesan penuaan itu sebenarnya merupakan kecemasan perubatan yang boleh menjejaskan proses rehabilitasi sekiranya tidak dikesan dan dirawat dengan segera.

Ketua Jabatan Pengurusan Kejururawatan, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Puan Azliza Rahim berkata, kekeliruan serta perubahan tingkah laku yang dialami oleh sesetengah pesakit pascastrok tidak boleh dianggap sebagai sebahagian daripada proses penuaan normal.

Katanya,

Kebanyakan orang menganggap pesakit warga emas yang keliru, gelisah atau kerap berubah tingkah laku hanya mengalami proses penuaan, sedangkan keadaan tersebut mungkin petanda delirium yang perlu dikenal pasti dan dirawat dengan segera.

Menurut beliau, delirium menyebabkan pesakit mengalami kekeliruan secara tiba-tiba, perubahan tingkah laku, kesukaran memberikan tumpuan serta gangguan tahap kesedaran yang berubah-ubah sepanjang hari.

Keadaan itu memberikan cabaran yang besar kepada proses rehabilitasi kerana pesakit sukar memahami arahan, kurang memberikan kerjasama semasa rawatan dan berisiko menjalani tempoh kemasukan ke hospital yang lebih panjang.

Ujarnya,

Pesakit mungkin berjaya melalui fasa kritikal strok, namun proses pemulihan boleh terganggu apabila mereka mengalami delirium, sekali gus menyebabkan rehabilitasi menjadi lebih sukar dan hasil rawatan tidak optimum.

Beliau juga menyatakan bahawa delirium pascastrok berlaku kepada kira-kira satu perempat pesakit strok, khususnya dalam kalangan warga emas dan individu yang mengalami strok yang lebih serius.

Antara faktor yang meningkatkan risiko delirium termasuklah umur melebihi 70 tahun, gangguan kognitif sedia ada, penggunaan pelbagai jenis ubat, jangkitan, dehidrasi, gangguan tidur, kesakitan yang tidak terkawal serta perubahan persekitaran.

Beliau turut menekankan kepentingan petugas kesihatan dan ahli keluarga dalam memahami perbezaan antara delirium, demensia dan kemurungan kerana ketiga-tiga keadaan tersebut mempunyai tanda serta pendekatan rawatan yang berbeza.

Jelasnya,

Delirium berlaku secara akut dan perubahan tingkah laku pesakit boleh berlaku dalam tempoh beberapa jam atau hari, berbeza dengan demensia yang berkembang secara perlahan dalam jangka masa panjang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi