Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPadang Besar – Negeri Perlis dikurniakan keindahan alam semula jadi yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya seperti bukit bukau, kehijauan sawah padi dan taman rekreasi yang berfungsi sebagai gimnasium semula jadi kepada orang ramai.
“Rakyat Perlis baik lelaki mahupun wanita disarankan supaya menggunakan kelebihan ini untuk kekal aktif melalukan aktiviti seperti berjalan kaki, berbasikal dan mendaki.”
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena dengan program penyerahan Agihan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Mustaqim Felda Rimba Mas, Padang Besar.
Turut berangkat bersama-sama baginda ialah Waris yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Baginda bertitah, “Amalan aktiviti fizikal secara konsisten sangat penting kerana bukan sahaja meningkatkan kecergasan, malah menjadi benteng utama dalam mencegah penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan penyakit jantung.”
Bersempena dengan program berkenaan, sebanyak RM105,000 telah disalurkan kepada 150 orang asnaf terpilih yang melibatkan sebanyak 75 orang anak kariah Felda Rimba Mas dan sebanyak 75 orang lagi anak kariah Padang Besar.

Program ini merupakan antara inisiatif berterusan MAIPs dalam memastikan hasil kutipan zakat dapat diagihkan secara efektif dan menyeluruh kepada golongan yang layak di seluruh negeri Perlis, selaras dengan aspirasi untuk memperkasakan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.