Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tiga orang saintis muda Malaysia yang cemerlang telah dipilih untuk mewakili negara ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau Ke-75, antara perhimpunan yang paling berprestij di dunia yang menghimpunkan para penerima Nobel dan penyelidik muda terkemuka.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan, mesyuarat tersebut kini berlangsung di Lindau, Jerman, dari 28 Jun 2026 hingga 3 Julai 2026.
Katanya,
Wakil Malaysia terdiri daripada YBrs. Dr. Nur Liyana Mohammed Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta YBrs. Dr. Pershaanaa K. Manogran dan YBrs. Dr. Ruth Naomi Manuel yang masing-masing dari Universiti Malaya (UM).
MOSTI berkata, delegasi Malaysia akan menyertai lebih daripada 600 orang saintis muda dan sekitar 75 penerima Nobel dari seluruh dunia dalam edisi ulang tahun mesyuarat tersebut yang diadakan secara antara disiplin.
Tambahnya, edisi kali ini bertemakan Resilience, Information, Integrity and Life yang mencerminkan cabaran sains paling mendesak pada masa ini semakin merentasi sempadan disiplin tradisional.
YBrs. Dr. Nur Liyana Mohammed Yusof merupakan pensyarah di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, UKM dan penyelidikan beliau memberikan tumpuan kepada usaha melindungi jantung daripada kerosakan akibat serangan jantung serta meneroka rawatan baharu untuk meningkatkan pemulihan pesakit secara praklinikal.
Ujarnya,
Saya amat berbesar hati dan teruja atas peluang untuk menghadiri mesyuarat ini dan sebagai penyelidik dari Malaysia yang menjalankan kajian kardiovaskular dengan kepentingan klinikal pada peringkat global, saya melihat mesyuarat ini sebagai peluang yang sangat bermakna untuk belajar secara langsung daripada tokoh sains dunia yang merupakan sumber inspirasi.
YBrs. Dr. Pershaanaa K. Manogran pula merupakan felow penyelidik pascakedoktoran di Jabatan Fizik, UM dan penyelidikan beliau mengkhususkan bahan termaju untuk penyimpanan tenaga generasi baharu, dengan tumpuan kepada pembangunan bahan dan sistem yang dapat mengumpul, menyimpan dan membebaskan tenaga dengan lebih cekap.
Kongsinya,
Sememangnya impian saya sejak dahulu lagi untuk bertemu dengan para penerima Nobel dan pada suatu hari nanti menjadi saintis yang dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat, seterusnya kepada komuniti saintifik global.
Sementara itu, YBrs. Dr. Ruth Naomi Manuel pula merupakan felow pascakedoktoran di Institut Sains Samudera dan Bumi, UM dan penyelidikan beliau mengkaji tentang obesiti, kesihatan usus serta faktor persekitaran yang mempengaruhi otak, pemikiran dan tingkah laku.
Jelasnya,
Pemilihan ini merupakan satu peluang yang amat bernilai untuk belajar daripada penerima Nobel serta berhubung dengan saintis muda yang cemerlang dari seluruh dunia dan saya berharap dapat bertukar pandangan, membina kerjasama serta memperoleh inspirasi baharu untuk penyelidikan saya dalam bidang neurosains dan kesihatan manusia.
Dalam kenyataan yang sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Datuk Chang Lih Kang berkata, penyertaan Malaysia dalam platform saintifik global seperti Mesyuarat Nobel Laureate Lindau mencerminkan komitmen kerajaan dalam membangunkan bakat masa hadapan, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), 2026 – 2030.
Menurut beliau,
RMK-13 memberikan penekanan yang kukuh terhadap pembangunan bakat masa hadapan merentasi kontinum pembelajaran, termasuklah melalui pendedahan yang lebih luas kepada sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), kemahiran digital dan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan.
Tambah beliau, penyertaan dalam program seperti ini memberikan pendedahan global, jaringan dan perspektif yang penting kepada saintis muda negara untuk memperkukuh inovasi, daya saing negara serta pertumbuhan bernilai tinggi.
Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara, Academician Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc pula berkata, ASM melihat program tersebut sebagai platform penting untuk membentuk kepimpinan saintifik serta memperkukuh keupayaan penyelidikan di Malaysia.
“Dengan menghubungkan saintis muda negara bersama-sama para penerima Nobel dan rakan penyelidik dari seluruh dunia, kita membuka ruang kepada bakat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pertukaran saintifik berimpak tinggi, membina kerjasama bermakna serta menyumbang kepada penyelesaian bagi cabaran global dan nasional yang kompleks,” katanya.
ASM telah berperanan sebagai badan pencalon rasmi Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau sejak tahun 2004 dan hingga kini, sebanyak 92 orang saintis Malaysia telah menyertai mesyuarat tersebut melalui pencalonan ASM, sekali gus meletakkan ASM dan Malaysia dalam rangkaian global Mesyuarat Nobel Laureate Lindau yang merangkumi lebih daripada 200 orang rakan akademik dan institusi saintifik terkemuka di seluruh dunia.
Program yang dianjurkan oleh Council for the Lindau Nobel Laureate Meeting pada setiap tahun ini menyediakan peluang yang unik kepada penyelidik muda untuk berinteraksi secara langsung dengan penerima Nobel melalui sesi seperti Laureate Lectures, Nobel Hours, Science Walks, Laureate Lunches, bengkel dan sesi Next Gen Science.
Program ini turut dilengkapi dengan sesi perbincangan panel serta pelbagai sesi rangkaian yang menggalakkan perbincangan antara disiplin dan kerjasama antarabangsa.