Diterbitkan pada 27 Jun 2026, 21:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajang – Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN) terus mengorak langkah ke hadapan dalam memacu transformasi digital apabila berjaya menganjurkan sesi prabengkel HTPN Productivity Intelligence Innovathon 2026 bertempat di Makmal IT hospital berkenaan, baru-baru ini.

Program yang diterajui oleh Pejabat Healthcare Intelligence HTPN berfungsi sebagai platform strategik untuk mengasah idea, sekali gus memperkukuh penyelesaian inovatif yang dibangunkan secara dalaman oleh warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan negara.

Sesi yang dikendalikan secara bersemuka itu berjaya menghimpunkan sebanyak 37 projek inovasi daripada pelbagai institusi kesihatan merentas negeri termasuklah HTPN, Hospital Shah Alam, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Hospital Sri Aman, Hospital Sarikei, Hospital Sultanah Aminah, Hospital Pulau Pinang, Hospital Kepala Batas dan Hospital Taiping.

Kesemua projek yang dibentangkan memberikan tumpuan khusus kepada usaha menambah baik perjalanan pesakit (patient journey), meningkatkan produktiviti klinikal, mengurangkan beban tugasan pentadbiran serta membangunkan papan pemuka pintar (smart dashboard) berasaskan analisis data yang komprehensif.

Selaras dengan arus perkembangan teknologi global, pelbagai projek yang dibentangkan turut memanfaatkan teknologi berimpak tinggi seperti pembelajaran mesin (machine learning), pembelajaran mendalam (deep learning), model bahasa raya (LLM), Retrieval-Augmented Generation (RAG) dan pemprosesan bahasa tabii (NLP).

Program berprestij ini dipimpin oleh  YBrs. Dr. Ferwahn Fairis bersama-sama YBrs. Dr. Naim Abdul Malek, Dr. Syafiz dan Megat Shahrul Hafiz serta turut mendapat sokongan padu daripada panel penasihat luar yang terdiri daripada pakar akademik dan industri, iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBrs. Dr. Ahmad Hakiim Jamaluddin dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta YBrs. Dr. Izzun Nasheef dari Hospital Dalat.

Kehadiran kombinasi mantap antara ahli akademik dengan pengamal kesihatan ini bukan sahaja memperkaya perspektif penilaian, malah membuka ruang yang luas kepada jalinan kerjasama penyelidikan, penerbitan ilmiah serta pembangunan geran pada masa hadapan.

Peserta semasa membentangkan aplikasi berasaskan AI yang dihasilkan.

Program ini turut memperlihatkan komitmen jitu dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada barisan kepimpinan tertinggi HTPN, iaitu Ketua Jabatan Perubatan Forensik, YBrs. Dr. Salmah dan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, YBrs. Dr. Anita yang bukan sekadar hadir memberikan sokongan, malah turut menyertai program sebagai peserta dengan membentangkan projek serta membangunkan aplikasi mereka sendiri.

Penganjuran HTPN Productivity Intelligence Innovathon 2026 menjadi bukti nyata terhadap komitmen berterusan KKM dalam memperkukuh agenda Kecerdasan Data Penjagaan Kesihatan (Healthcare Data Intelligence).

Langkah ini berpaksikan kepada penggunaan data berkualiti sebagai asas pembuatan keputusan, pengoptimuman aset data sedia ada, pengurusan perubahan organisasi yang efektif serta pembinaan ekosistem inovasi yang lestari.

Melalui inisiatif proaktif seumpama ini, KKM diyakini mampu melahirkan lebih banyak penyelesaian berkesan untuk memartabatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi