Diterbitkan pada 3 Julai 2026, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi bagi memastikan penawaran program, kapasiti institusi dan pembangunan bakat sentiasa seiring dengan keperluan industri serta aspirasi pembangunan negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Adam Adli Abd Halim berkata, usaha memperkasakan bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menjadi antara agenda penting KPT ke arah tahun 2030, khususnya bagi memenuhi permintaan tenaga kerja dalam sektor berteknologi tinggi dan berasaskan inovasi.

Perkara itu dinyatakan menerusi jawapan kepada pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas Tahun 2026.

Penekanan terhadap pembangunan bakat STEM adalah penting dalam menghadapi perubahan pesat landskap pekerjaan yang dipacu oleh kemajuan teknologi, automasi dan pendigitalan.

Universiti awam kini turut memberikan tumpuan kepada pembangunan bakat dalam beberapa sektor strategik, termasuklah kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, automasi, pendigitalan dan teknologi hijau.

Data sistem MyMoheS KPT menunjukkan bahawa daripada 556 556 orang pelajar yang memasuki pengajian peringkat diploma dan ijazah pertama di universiti awam bagi tahun 2023 hingga Mac 2026, sebanyak 326 419 orang atau 58.6 peratus merupakan pelajar dalam bidang STEM.

Jumlah tersebut menunjukkan pelibatan pelajar STEM melebihi separuh daripada keseluruhan kemasukan, manakala 230 137 orang atau 41.4 peratus lagi berada dalam bidang bukan STEM.

Peningkatan dan pengukuhan penyertaan pelajar dalam bidang STEM amat signifikan kerana negara memerlukan lebih banyak tenaga mahir bagi menyokong pembangunan industri, aktiviti penyelidikan, penciptaan teknologi serta penghasilan inovasi tempatan.

Dalam konteks tersebut, Hala Tuju Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 menetapkan sasaran sebanyak 200 orang penyelidik, saintis, jurutera dan teknologis (RSET) bagi setiap 10 000 tenaga kerja.

Berdasarkan unjuran guna tenaga negara sekitar 17.06 juta orang, keperluan tenaga kerja RSET dianggarkan mencecah 341 200 orang menjelang tahun 2030.

Sasaran itu menggambarkan keperluan mendesak untuk memperkukuh laluan pendidikan STEM dari peringkat sekolah hingga institusi pengajian tinggi, di samping memastikan graduan yang dilahirkan memiliki pengetahuan, kemahiran teknikal dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan industri.

Pengukuhan program pengajian, kapasiti institusi serta pembangunan bakat dalam bidang strategik juga dilihat penting bagi menyokong pertumbuhan sektor seperti AI, semikonduktor, automasi, pendigitalan dan teknologi hijau yang semakin mendapat perhatian dalam agenda pembangunan negara.

Usaha berterusan KPT itu bukan sahaja dapat memperluas peluang pendidikan dan kerjaya kepada pelajar, malah berpotensi membantu negara membina tenaga kerja yang lebih berkemahiran, inovatif dan bersedia menyumbang kepada ekonomi berteraskan ilmu serta teknologi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi