Diterbitkan pada 3 Julai 2026, 15:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Sebanyak 105 orang murid Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Tun Uda menyertai program Empowered Humanity yang mengetengahkan pembelajaran berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik (STEAM) menerusi aktiviti penerokaan (explorace) sebagai sebahagian daripada inisiatif mega Train to Humanity 8.0 bagi memperkasakan pemikiran saintifik serta memupuk minat murid terhadap bidang STEAM melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.

Program anjuran Majlis Penghuni Desasiswa Restu, Universiti Sains Malaysia (USM) itu dipimpin oleh Pengarah Projek, Encik Muhammad A’rif Naufal Mohd Fauzi dan Penolong Penggawa Desasiswa Restu, YBrs. Dr. Wan Norhaniza Wan Hasan sebagai wakil penasihat program, manakala SMK Raja Tun Uda diwakili oleh Ketua Panitia Sains, Puan Nur Fazlina Abdullah.

Pelaksanaan program ini selari dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta keperluan ekonomi masa hadapan.

Kementerian Pendidikan turut memberikan penekanan kepada pembangunan kompetensi STEM melalui pengukuhan kemahiran pedagogi, aplikasi STEM, integrasi ilmu serta literasi data, digital dan teknologi dalam pendidikan.

Menerusi konsep penerokaan, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menyelesaikan tugasan di setiap stesen yang dibangunkan berasaskan elemen STEAM.

Aktiviti tersebut mencabar murid dalam mengaplikasikan pengetahuan sedia ada, membuat pemerhatian, merancang strategi dan mencari penyelesaian secara kreatif dalam tempoh yang ditetapkan, sekali gus membuktikan bahawa pembelajaran STEM boleh digunakan dalam kehidupan sebenar melalui proses mencuba, berbincang, menilai dan menambah baik idea.

Selain memperkukuh kefahaman terhadap konsep STEAM, aktiviti penerokaan ini turut memupuk kemahiran berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah, berkomunikasi dan bekerja secara berpasukan.

Setiap tugasan memerlukan murid berbincang, mendengar pandangan rakan, membuat keputusan dengan pantas serta membahagikan peranan secara sistematik bagi mencapai objektif yang ditetapkan.

Murid SMK Raja Tun Uda berbincang dan merangka strategi bersama-sama rakan sepasukan dalam satu daripada aktiviti penerokaan yang menguji kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan kerja berpasukan.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini dapat membantu meningkatkan minat murid terhadap bidang STEAM, di samping membentuk keupayaan berfikir secara logik, menghasilkan idea baharu dan menghadapi cabaran secara kreatif.

Peserta mengikuti penerangan berkaitan dengan penggunaan teknologi dan sumber digital sebagai sebahagian daripada aktiviti pembelajaran berasaskan STEAM.

Program ini turut memberikan penekanan kepada pembentukan sahsiah dengan menerapkan nilai disiplin, ketelitian, pengurusan masa, kepimpinan dan sikap saling menghormati sepanjang peserta melaksanakan tugasan yang diberikan.

Murid menyelesaikan tugasan di stesen penerokaan yang menguji kemahiran pemerhatian, ketelitian, penyelesaian masalah dan kerjasama dalam kumpulan.

Pelibatan mahasiswa USM sebagai fasilitator pula membuka ruang kepada murid untuk berinteraksi secara langsung dengan pelajar universiti, sekali gus diharapkan dapat menyuntik inspirasi kepada mereka untuk membina cita-cita, meningkatkan keyakinan diri serta meneroka peluang melanjutkan pengajian dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Penganjuran program ini membuktikan bahawa pendidikan STEAM mampu disampaikan secara kreatif dan menyeronokkan tanpa mengabaikan nilai pembelajaran yang bermakna.

Melalui aktiviti berasaskan cabaran dan kolaborasi, murid bukan sahaja dapat memperkukuh penguasaan konsep STEAM, malah berpeluang membina kemahiran insaniah yang penting bagi menghadapi dunia yang semakin kompleks, selaras dengan aspirasi pendidikan negara dan hasrat Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing, inovatif, celik teknologi dan kompetitif pada peringkat global.

Penolong Penggawa Desasiswa Restu, YBrs. Dr. Wan Norhaniza Wan Hasan menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil SMK Raja Tun Uda sebagai simbolik penghargaan atas kerjasama sekolah dalam menjayakan program.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi