Diterbitkan pada 1 Julai 2026, 10:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Puncak Alam – Ancaman demam denggi yang terus menjadi polemik kesihatan awam mendorong sekumpulan mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan program khidmat komuniti Beat the Bite: Misi Cegah dan Tegah di Pangsapuri Alam Perdana bagi memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan dan amalan pencegahan untuk memutuskan rantaian penularan penyakit itu.

Program yang bertemakan Perlindungan dan Penularan” itu memberikan penekanan kepada kaedah perlindungan diri daripada gigitan nyamuk aedes, di samping meningkatkan kefahaman para peserta mengenai mekanisme penularan virus denggi supaya langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Antara pengisian utama program tersebut termasuklah sesi demonstrasi interaktif pembuatan penghalau nyamuk buatan sendiri dengan menggunakan bahan organik semula jadi seperti serai wangi, kulit limau dan cengkih.

Para peserta turut diberikan panduan mengenai kaedah sapuan dan semburan yang betul pada kulit serta persekitaran rumah bagi memastikan perlindungan optimum daripada gigitan nyamuk aedes.

Bagi meningkatkan kefahaman mengenai aspek penularan penyakit, pameran interaktif cetakan tiga dimensi yang memaparkan kitaran hidup nyamuk aedes turut disediakan.

Replika tersebut membantu para peserta untuk memahami proses pembiakan dan penularan virus denggi, sekali gus memudahkan mereka mengenal pasti kawasan berisiko yang perlu dihapuskan.

Menurut Penasihat Program, YBhg. Profesor Dr. Nazri Che Dom yang turut dibantu oleh Encik Zulkifli Abdul Hadi, pemilihan tema ini amat bertepatan dengan keperluan kesihatan komuniti pada masa ini.

Katanya,

Masyarakat perlu mengetahui cara untuk melindungi diri apabila nyamuk sudah matang, tetapi yang lebih utama ialah memahami penularan penyakit berlaku supaya kita dapat menyekatnya dengan lebih awal.

Tambah beliau, sokongan padu daripada agensi kesihatan, pihak berkuasa tempatan dan Persatuan Alam Perdana membuktikan bahawa amalan harian komuniti mampu diubah ke arah yang lebih sihat.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuklah senamrobik, gotong-royong membersihkan kawasan pangsapuri bagi menghapuskan takungan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, pertandingan mewarna bertemakan pencegahan denggi untuk kanak-kanak serta cabutan bertuah.

Antara sebahagian penduduk Pangsapuri Alam Perdana dan mahasiswa UiTM yang bersama-sama menyertai sesi senamrobik bagi memupuk gaya hidup sihat sebelum aktiviti gotong-royong bermula.

Penganjuran program ini berjaya direalisasikan menerusi kerjasama erat antara mahasiswa UiTM dengan Pejabat Kesihatan, Majlis Perbandaran Kuala Selangor, COMBI Malaysia, Permata Hawa dan Persatuan Alam Perdana, sekali gus membuktikan komitmen bersepadu pelbagai pihak dalam memperkukuh usaha pencegahan denggi serta menjaga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Para peserta program berganding bahu mengumpulkan sisa pepejal semasa aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan bagi menghapuskan tempat takungan air yang berpotensi menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi