Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Seramai 10 orang mahasiswa Program Teknologi Marin Lestari, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis berpeluang mendalami aspek sains, teknologi dan keselamatan maritim menerusi lawatan akademik ke Ibu Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis.
Lawatan tersebut memberikan pendedahan secara langsung kepada mahasiswa mengenai peranan strategik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam memastikan keselamatan perairan negara, di samping memperkenalkan teknologi pemantauan maritim yang digunakan bagi mengawal aktiviti di laut.
Dalam sesi taklimat, Leftenan Madya (M) Umair Ismail, Pegawai Penguatkuasaan dan Eksesais (PNE), Zon Maritim Kuala Perlis, menjelaskan bahawa APMM yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang maritim di kawasan perairan negara yang merangkumi perairan pedalaman, laut wilayah, pelantar benua, Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), perairan perikanan dan ruang udara maritim.
Menurut beliau, keluasan zon maritim Malaysia mencecah kira-kira 614 000 kilometer persegi, iaitu hampir dua kali ganda keluasan daratan negara, sekali gus menjadikan aspek pemantauan dan penguatkuasaan maritim suatu cabaran yang memerlukan penggunaan teknologi moden serta aset yang berkeupayaan tinggi.
“APMM beraspirasi untuk menjadi antara agensi penguatkuasaan maritim terbaik di dunia. Bagi merealisasikan visi tersebut, penggunaan teknologi pemantauan, sistem komunikasi dan pengurusan maklumat maritim yang cekap amat penting dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara,” kata beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan Malaysia Maritime Search and Rescue Region (MSRR) meliputi lebih 380 329 kilometer persegi di Semenanjung Malaysia serta 514 437 kilometer persegi di Sabah dan Sarawak, yang memerlukan koordinasi operasi mencari dan menyelamat secara bersepadu.
Antara teknologi yang diketengahkan kepada mahasiswa termasuklah Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) yang berfungsi sebagai platform pemantauan keselamatan maritim negara. Sistem tersebut mampu mengesan, menganalisis dan menyalurkan maklumat aktiviti maritim secara masa nyata kepada aset penguat kuasa di laut.
Menurut Umair, penggunaan SWASLA membolehkan APMM meningkatkan kecekapan pengawasan perairan melalui integrasi data daripada pelbagai sumber seperti radar, sistem pengenalpastian automatik kapal (AIS) dan rangkaian komunikasi maritim.
“Teknologi pemantauan digital seperti SWASLA membolehkan aktiviti mencurigakan dikenal pasti lebih awal, sekali gus membantu tindakan penguatkuasaan dijalankan dengan lebih pantas dan berkesan,” ujar beliau.
Mahasiswa turut diberikan penerangan mengenai aset operasi yang digunakan oleh Zon Maritim Kuala Perlis, termasuk Bot Penggalang 1642, Bot Perkasa 1240, Bot Perkasa 1227 dan Bot Benteng 1207, yang memainkan peranan penting dalam rondaan, penguatkuasaan serta operasi menyelamat di laut.
Selain itu, peserta didedahkan kepada pelaksanaan beberapa operasi utama seperti Ops Aman dan Ops Tiris 4.0. Ops Aman dilaksanakan bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang Persekutuan di Zon Maritim Malaysia serta memastikan keselamatan dan ketenteraman perairan Kedah dan Perlis sentiasa terjamin, manakala Ops Tiris 4.0 memberikan tumpuan kepada usaha membanteras penyelewengan dan ketirisan diesel bersubsidi melalui pemantauan rapi di kawasan sempadan perairan Malaysia – Thailand serta perairan Kedah – Perlis.
Dalam sesi lawatan ke galeri bahan rampasan, Leftenan (M) Thiaga Rajan A/L Ramasami, Timbalan Pengarah Keselamatan Zon Maritim Kuala Perlis, menjelaskan bahawa APMM turut memberikan perhatian serius terhadap kesalahan yang memberi kesan kepada kelestarian ekosistem marin.
Beliau berkata, antara peralatan yang sering dirampas ialah bubu naga, sejenis alat tangkapan ikan yang tidak selektif dan berpotensi memerangkap pelbagai spesies marin termasuk organisma juvenil yang masih belum matang untuk membiak.
“Tangkapan spesies juvenil secara berlebihan boleh mengurangkan stok ikan dan menjejaskan keseimbangan ekosistem,” jelas beliau.
Tambah beliau, APMM turut merampas alat pengutip siput yang dikenali sebagai sangkar tangguk siput digunakan untuk mendapatkan siput retak seribu secara berlebihan.

Penggunaan alat tersebut boleh menyebabkan gangguan fizikal terhadap dasar laut, merosakkan habitat bentik serta memberikan impak negatif kepada komuniti organisma dasar yang berfungsi sebagai komponen penting dalam rantaian makanan marin.
“Gangguan terhadap habitat bentik boleh menjejaskan fungsi ekologi dasar laut dan habitat pembiakan pelbagai spesies marin,” kata beliau.
Lawatan akademik ini bukan sahaja memperkukuh pemahaman mahasiswa terhadap aspek penguatkuasaan maritim, malah membuka ruang kepada mereka untuk melihat elemen sains marin, teknologi pemantauan, pengurusan data dan pemuliharaan sumber laut diaplikasikan secara langsung dalam operasi keselamatan negara.
Turut mengikuti lawatan tersebut ialah Puan Rohayu Ramli, Pensyarah Kanan Program Teknologi Marin Lestari, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis.
Program ini diharap dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan dalam bidang sains marin, tetapi juga memahami kepentingan teknologi dan penguatkuasaan dalam memastikan kelestarian sumber laut serta keselamatan maritim negara terus terpelihara.
