Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSintok – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam dunia akademik kini dilihat semakin penting dalam membantu penyelidik mempercepat proses pencarian literatur, mengenal pasti jurang kajian serta merancang penulisan ilmiah secara lebih sistematik dan strategik.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), YBrs. Ts. Dr. Mathivannan Jaganathan menerusi webinar yang bertajuk “From Search to Structure: Leveraging Scopus AI for Research Ideas and Scholarly Writing” yang berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi Webex.
Beliau berkata, landskap penyelidikan akademik kini berubah seiring dengan perkembangan teknologi AI apabila kaedah tradisional yang bergantung pada carian manual, penggunaan kata kunci secara cuba jaya dan proses penapisan yang memakan masa mula digantikan dengan pendekatan berasaskan AI yang lebih pintar dan efisien.
Menurut beliau, era penyelidikan pada masa ini memberikan ruang kepada penggunaan carian bahasa semula jadi, ringkasan pintar, analisis trend penyelidikan dan sintesis maklumat yang lebih pantas.
Katanya,
AI tidak akan menggantikan penyelidik, namun penyelidik yang menggunakan AI mungkin akan mengatasi mereka yang tidak menggunakannya.
Dalam sesi tersebut, beliau turut memperkenalkan Scopus AI sebagai platform penemuan dan kecerdasan penyelidikan yang dibangunkan dalam ekosistem Scopus bagi membantu penyelidik mengemukakan soalan dalam bahasa semula jadi, meneroka literatur akademik, menghasilkan ringkasan penyelidikan, mengenal pasti tema dan konsep, menelusuri hubungan sitasi serta mengesan topik penyelidikan yang sedang berkembang.
Beliau juga menjelaskan bahawa Scopus AI boleh dimanfaatkan oleh pelbagai kelompok akademik, termasuklah pensyarah untuk mengemas kini bahan pengajaran dan mengenal pasti jurnal sasaran, profesor bagi tujuan kepimpinan penyelidikan dan pencarian kolaborasi, pelajar pascasiswazah untuk memperkukuh sorotan literatur serta hala tuju tesis, selain membantu penyelidik membangunkan cadangan kajian dengan lebih cepat.
Penggunaan Scopus AI turut membantu pencarian literatur menjadi lebih strategik melalui penemuan kajian yang lebih relevan, penerokaan pintar, navigasi bukti penyelidikan dan meningkatkan kecekapan penyelidikan.

Kata beliau, kaedah carian tradisional sering berdepan dengan pelbagai cabaran seperti terlalu banyak artikel tidak berkaitan, proses pengubahsuaian kata kunci yang memakan masa, risiko terlepas kajian penting, kesukaran dalam menghubungkan konsep yang berkaitan serta keterbatasan penerokaan merentas disiplin.
Dalam sesi perkongsian itu juga, beliau menerangkan cara Scopus AI membantu menghasilkan ringkasan penyelidikan, mengenal pasti trend dan jurang kajian secara lebih pantas berbanding dengan pendekatan manual yang sering meletihkan dan mudah terlepas pola penting dalam literatur.
Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa penyelidik perlu berhati-hati dalam menentukan jurang penyelidikan dan tidak sewenang-wenangnya menganggap “kurang kajian” sebagai jurang penyelidikan yang kukuh.
Tegasnya,
Jurang penyelidikan haruslah dipertahankan secara akademik kerana AI boleh memberikan cadangan, tetapi penyelidik tetap perlu membuat pengesahan.
Beliau turut menekankan kepentingan penyelidik menyemak artikel asal, metodologi, kesesuaian konteks, ketepatan konsep serta tahun penerbitan sebelum menggunakan maklumat yang dijana oleh AI.

Mengakhiri sesi perkongsiannya, beliau mengingatkan para peserta mengenai isu integriti akademik apabila AI berpotensi menghasilkan maklumat yang tidak tepat, terlalu memudahkan bukti kajian, salah mentafsir konteks dan mendorong penggunaan pintasan tidak beretika.
Antara penggunaan AI yang dianggap beretika termasuklah membantu penjanaan idea penyelidikan, merumuskan hala tuju sorotan literatur, mengenal pasti tema kajian, memperbaik kejelasan bahasa dan memperkemas struktur penulisan.
Sebaliknya, tindakan seperti menghasilkan bab tesis sepenuhnya tanpa semakan, mencipta bukti palsu, mereka rujukan serta menggantikan penaakulan ilmiah dengan AI disifatkan sebagai tidak beretika.
Terdapat juga sesi demonstrasi penggunaan Scopus AI dalam webinar berkenaan bagi membantu para penyelidik memahami aplikasi sebenar teknologi itu dalam aspek penyelidikan dan penulisan akademik.

Program anjuran Jawatankuasa Penerbitan, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, UUM itu berjaya menarik penyertaan lebih daripada 70 orang peserta yang terdiri daripada golongan pensyarah dan para pelajar pascasiswazah dari universiti berkenaan dan institusi akademik lain.
