Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Gajah – Isu kerapuhan fizikal atau frailty dan sarkopenia yang semakin membimbangkan dalam kalangan warga emas sehingga menjejaskan tahap kesihatan, pergerakan dan kualiti hidup menjadi fokus utama program komuniti “Kuat Sepanjang Usia: Mengatasi Frailty untuk Kehidupan Lebih Berkualiti” anjuran pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Alor Gajah dan Unit Fisioterapi Jabatan Rehabilitasi Hospital Alor Gajah itu melibatkan penyertaan 20 orang warga emas daripada komuniti setempat.
Penganjuran program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko kerapuhan fizikal dan sarkopenia, selain memperkukuh kefahaman tentang kepentingan senaman, aktiviti fizikal dan fisioterapi dalam mengekalkan fungsi badan serta kesejahteraan hidup apabila meningkat usia.
Sepanjang program tersebut berlangsung, para peserta menjalani pelbagai aktiviti kesihatan dan pendidikan, termasuklah saringan kesihatan bagi mengenal pasti tanda awal sarkopenia, penilaian kekuatan badan dan ujian keseimbangan bagi membantu warga emas memahami tahap kesihatan masing-masing serta langkah pencegahan dan pengurusan kelemahan secara berkesan.

Program turut diserikan dengan sesi ceramah kesihatan yang disampaikan oleh pelajar fisioterapi mengenai risiko kerapuhan fizikal dan kepentingan senaman serta fisioterapi dalam meningkatkan mobiliti, kekuatan otot dan keyakinan diri warga emas untuk menjalani aktiviti harian.

Selain itu, pelbagai aktiviti interaktif seperti senaman pemanasan badan, permainan Kahoot bagi merangsang fungsi kognitif, aktiviti berbilang tugas serta latihan kekuatan otot tangan dan kaki berjaya mewujudkan suasana program yang aktif, ceria dan menyeronokkan.


Para peserta dilihat bersemangat sepanjang aktiviti berlangsung apabila bekerjasama dalam kumpulan untuk menyelesaikan cabaran yang diberikan dan bersaing secara sihat bagi meraih kemenangan masing-masing sebelum program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Menurut ahli PAWE Alor Gajah, Puan Noraihan, beliau berasa bertuah dapat menghadiri program tersebut kerana memperoleh pelbagai ilmu bermanfaat berkaitan dengan penjagaan kesihatan warga emas.
Katanya,
Terima kasih kepada pelajar fisioterapi UiTM Kampus Puncak Alam kerana banyak ilmu yang kami pelajari daripada program ini dan semoga program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.
Program tersebut bukan sahaja menjadi platform pendidikan kesihatan kepada komuniti warga emas, malah turut menjadi medium pembelajaran lapangan kepada pelajar fisioterapi dalam menghubungkan ilmu akademik dengan situasi sebenar pada peringkat komuniti.

Inisiatif itu membuktikan bahawa kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi, agensi kesihatan dan komuniti setempat mampu memainkan peranan penting dalam memperkasakan kesejahteraan warga emas serta memupuk masyarakat yang lebih aktif, sihat dan berkualiti, selaras dengan aspirasi penuaan sihat negara.
