Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Kehadiran ikan invasif atau spesies ikan asing di perairan air tawar negara kini semakin membimbangkan apabila spesies tersebut bukan sahaja mengancam kelangsungan ikan tempatan, malah turut menjejaskan keseimbangan ekosistem, ekonomi komuniti nelayan darat dan kualiti habitat sungai.
Pensyarah Kanan Program Teknologi Marin Lestari, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, Puan Rosnani Nazri berkata, ikan invasif merujuk spesies ikan bukan asli yang diperkenalkan ke sesuatu ekosistem sama ada secara sengaja atau tidak sengaja sebelum berjaya membiak dan mendominasi habitat baharu.
Menurut beliau, kemasukan spesies asing ke sungai, tasik dan sistem air tawar di Malaysia berlaku melalui beberapa faktor utama seperti perdagangan ikan hiasan, aktiviti akuakultur, pelepasan ritual keagamaan dan kegagalan kawalan biologi pada masa lalu.
Beliua berkata,
Banyak pemilik akuarium mengambil jalan mudah dengan melepaskan ikan peliharaan ke sungai apabila ikan tersebut membesar atau sukar dijaga. Tindakan ini sebenarnya memberikan kesan besar kepada ekosistem tempatan.
Antara spesies invasif yang sering ditemui di Malaysia termasuklah ikan bandar raya (Pleco), ikan merak (Peacock Bass), ikan baung ekor merah, tilapia dan kerapu lombong (Jaguar Cichlid).

Tambah beliau, spesies tersebut memiliki ciri super-survival seperti kadar pembiakan yang tinggi, ketahanan terhadap air tercemar serta tiada pemangsa semula jadi di habitat tempatan.
Jelasnya,
Sebahagian spesies ini juga sangat agresif dalam mendapatkan makanan dan ruang sehingga menyebabkan ikan tempatan seperti kelah, sebarau, lampam dan baung semakin terancam.
Selain itu, spesies asing turut berpotensi membawa bakteria, parasit dan penyakit baharu yang tidak mampu ditangkis oleh ikan tempatan, sekali gus meningkatkan risiko kematian besar-besaran dalam ekosistem sungai.

Menurut beliau lagi, ancaman ikan invasif bukan sekadar menjejaskan biodiversiti, malah memberikan kesan fizikal kepada struktur habitat sungai.
“Ikan bandaraya mempunyai tabiat mengorek lubang pada tebing sungai untuk bertelur. Aktiviti ini boleh menyebabkan hakisan tebing, meningkatkan kekeruhan air dan memusnahkan kawasan pembiakan ikan lain,” kata beliau.
Tambah beliau, sesetengah spesies asing turut memusnahkan tumbuhan akuatik yang berfungsi sebagai habitat perlindungan anak ikan dan penapis semula jadi air.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa komuniti nelayan darat antara pihak yang paling terkesan apabila tangkapan mereka kini didominasi oleh spesies asing yang tidak mempunyai nilai pasaran tinggi.
Ujarnya,
Kulit ikan bandaraya yang keras dan berduri juga sering merosakkan pukat dan jaring nelayan sehingga meningkatkan kos penyelenggaraan peralatan menangkap ikan.
Menurut beliau, lambakan ikan invasif turut memberikan kesan kepada sektor ekopelancongan dan aktiviti memancing kerana sungai yang dahulunya terkenal dengan spesies premium seperti kelah dan sebarau kini semakin dipenuhi spesies asing.
Bagi menangani isu tersebut, kerajaan melalui Jabatan Perikanan Malaysia telah melaksanakan beberapa pendekatan termasuk penguatkuasaan undang-undang, program spesies asing invasif, pewartaan zon perlindungan dan penyelidikan menggunakan teknologi DNA persekitaran (eDNA).
Beliau turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi moden seperti sistem pemantauan berasaskan Internet Kebendaan (IoT), dron bawah air dan analisis eDNA bagi mengesan kehadiran spesies invasif lebih awal sebelum populasinya menjadi tidak terkawal.
Beliau turut berkata, pendekatan sains rakyat atau citizen science juga penting dengan pelibatan masyarakat dalam melaporkan kehadiran spesies asing melalui platform digital.
Katanya,
Masyarakat perlu lebih bertanggungjawab dan tidak melepaskan ikan hiasan ke sungai sesuka hati. Kesedaran awam amat penting untuk memastikan kelestarian ekosistem air tawar negara terus terpelihara.