Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSintok – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) telah menganjurkan Pertandingan 3 Minute Thesis (3MT) 2026 bagi mengasah kemahiran komunikasi penyelidik dalam menterjemahkan hasil penyelidikan saintifik kepada masyarakat umum.
Program yang berlangsung di Studio OYAGSB, UUM itu diadakan dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dengan penyertaan sebanyak 11 orang peserta daripada pelbagai pusat pengajian di universiti berkenaan.
Dekan OYAGSB, YBhg. Profesor Dr. Hasnizam Shaari dalam ucapan alu-aluannya berkata, pertandingan tersebut merupakan platform penting untuk melatih penyelidik muda menyampaikan impak penyelidikan mereka secara ringkas, jelas dan menarik kepada khalayak bukan pakar.

Menurut beliau, dalam dunia yang serba pantas pada hari ini, kebolehan menterjemahkan data teknikal kepada bentuk penceritaan yang mudah difahami bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan.
Katanya,
Pertandingan ini memberikan ruang kepada penyelidik masa hadapan untuk menjadi penghubung antara inovasi di makmal dengan keperluan masyarakat.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang berani menyahut cabaran pertandingan tersebut.
Program tersebut menampilkan YBhg. Profesor Dr. Nor Azila Mohd Noor dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan sebagai ketua juri.
Turut menganggotai panel juri ialah YBrs. Profesor Madya. Dr. Hendrik Lamsali dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta YBrs. Profesor Madya Dr. Narentheren Kaliappen dari Pusat Pengajian Antarabangsa.
Menurut YBhg. Profesor Dr. Nor Azila Mohd Noor, setiap peserta dinilai berdasarkan dua komponen utama.

Kata beliau, komponen pertama melibatkan kejelasan latar belakang kajian, signifikan penyelidikan, persoalan kajian, strategi penyelidikan, dapatan serta impak kajian.
“Komponen kedua pula menilai penggunaan bahasa yang mudah difahami oleh audiens bukan pakar, reka bentuk slaid pembentangan, gaya penyampaian, tahap keyakinan serta kemampuan peserta menarik perhatian penonton sepanjang pembentangan,” ujar beliau.
Beliau turut berharap semua peserta dapat memberikan persembahan yang terbaik, sekali gus membawa nama UUM ke peringkat antarabangsa.

Dalam pertandingan tersebut, Encik Mohd Shafiq Abdullah dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM500 berserta sijil dan hamper.

Naib juara pula dimenangi oleh Encik Ho Xia Eq yang menerima RM300 berserta sijil dan hamper, manakala tempat ketiga menjadi milik Encik Ahmed Jawhar Mohammad yang membawa pulang RM200 berserta sijil dan hamper.