Diterbitkan pada 15 Mei 2026, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Sesi Libat Urus (SLU) Akta Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 [Akta A1779] Peringkat Zon Timur telah berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, baru-baru ini menjadi platform kepada Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) untuk menyampaikan informasi berkaitan dengan pelaksanaan pindaan akta tersebut kepada pemegang taruh.

Sesi tersebut menjadi penanda aras kepada pemegang lesen dan badan kerajaan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan untuk mendapatkan informasi yang jelas berkaitan dengan pindaan akta tersebut yang telah berkuat kuasa pada 1 Disember 2025.

Dari kiri: Ts. Azrul Baktiar, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang; Superintenden Wan Iswadi Wan Yusof, Penolong Pengarah Persenjataan PDRM; Puan Hajah Noraishah Pungut, Ketua Pengarah Atom Malaysia; Haji Mohd Helmi Mat Zin, Pengarah Bahagian Undang-undang Kerajaan Negeri Kelantan dan Pegawai Kanan Atom Malaysia.

Sesi libat urus ini telah dirasmikan oleh Puan Hajah Noraishah Pungut, Ketua Pengarah Atom Malaysia, yang menyatakan bahawa pindaan Akta A1779 dibuat selaras dengan keperluan semasa sektor tenaga atom selain mengambil kira perkembangan teknologi dan amalan kawal selia pada peringkat antarabangsa.

Pelaksanaan pindaan akta itu turut memfokuskan aspek keselamatan, sekuriti dan kawal guna (3S) bagi memastikan setiap aktiviti yang berkaitan dengan tenaga atom dikendalikan mengikut peraturan dan piawaian yang ditetapkan.

Program ini disertai oleh 93 orang peserta terdiri daripada pelbagai sektor termasuk industri dan penyelidikan yang menggunakan teknologi berkaitan dengan tenaga atom dalam operasi masing-masing.

Taklimat Akta Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 [Akta A1779] oleh Encik Faeizal Ali, Pengarah Bahagian Dasar dan Hubungan Luar Atom Malaysia.
Program ini seterusnya menampilkan sesi taklimat umum (townhall) yang dikendalikan oleh Penolong Pengarah Pejabat Zon Timur, Encik Amirul Shazmie Jamaluddin bersama-sama ahli panel, Puan Hajah Noraishah Pungut, Ketua Pengarah Atom Malaysia; Cik Gan Pek Yen, Timbalan Pengarah Bahagian Penilaian Perlesenan serta Encik Zulfadli Ramli, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kawal Selia Sinaran.

Taklimat umum yang dikendalikan oleh pihak Atom Malaysia.

Melalui sesi tersebut, para peserta turut diberikan ruang dan peluang untuk mengemukakan pertanyaan, pandangan serta cadangan berkaitan dengan aspek pelesenan di samping berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan aktiviti tenaga atom di premis masing-masing.

Sesi interaktif ini secara tidak langsung menjadi platform komunikasi dua hala yang konstruktif dalam memperkukuh kefahaman terhadap keperluan pematuhan perundangan serta meningkatkan kerjasama antara pihak pengawal selia dan pemegang lesen.

Penganjuran sesi libat urus ini bukan sahaja berjaya menjelaskan maklumat berkaitan dengan pelaksanaan Akta A1779 kepada pihak berkepentingan, malah turut memperkukuh hubungan kerjasama serta mewujudkan saluran komunikasi dua hala yang lebih efektif antara Atom Malaysia dengan pemegang taruh.

Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap isu, pandangan dan keperluan dapat difahami serta ditangani secara lebih menyeluruh demi menjamin pelaksanaan Akta A1779 yang lebih teratur, telus dan berkesan pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi