Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menteri Sains, Teknologi dan lnovasi, YB Datuk Chang Lih Kang, melancarkan Hari Istimewa Sains (HIS) 2026 di Pusat Sains Negara, semalam.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), HIS merupakan program khidmat sosial tahunan Pusat Sains Negara Kuala Lumpur yang bertujuan untuk menggalakkan pelibatan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan komuniti khas dalam aktiviti pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
“HIS yang bertemakan ‘Inspirasi Impian Spektrum’ pada tahun ini mengetengahkan pendekatan bermain sambil belajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pengalaman sensori yang merangkumi deria penglihatan, sentuhan, bau, rasa dan pendengaran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, penganjuran inisiatif ini selari dengan teras daya cipta dan ihsan dalam konsep Malaysia MADANI serta peranan Pusat Sains Negara dalam memastikan penyampaian ilmu STI dapat diakses secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat.
MOSTI berkata, kumpulan sasar program ini melibatkan pelbagai kategori OKU termasuklah kurang upaya pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal, pembelajaran, mental serta pelbagai ketidakupayaan lain.
Selain itu, katanya, program ini turut melibatkan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK), komuniti asnaf, anak yatim serta orang awam.
“Sepanjang penganjuran program ini, para peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif termasuklah eksplorasi sains dan teknologi, demonstrasi sains secara langsung, persembahan khas, bengkel permainan sensori serta aktiviti kreatif serta praktikal yang dirangka khusus bagi memenuhi keperluan komuniti sasaran,” maklumnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), YBhg. Dato’ Ruziah Shafei dan Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, YBrs. Tuan Megat Affandi Datuk Wira Haji Ismail.