Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau rapi perkembangan penularan jangkitan hantavirus susulan laporan kes pada peringkat global.
Menurut KKM dalam satu kenyataan, pihaknya mengambil maklum akan laporan media antarabangsa berhubung dengan kejadian kluster hantavirus yang melibatkan sebuah kapal persiaran antarabangsa MV Hondius yang sedang mendapat perhatian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kenyataan itu menyatakan bahawa sebanyak lapan kes disyaki telah dilaporkan dengan tiga kematian.
Ujar KKM,
Hantavirus merupakan sejenis virus zoonotik yang lazimnya disebarkan melalui pendedahan kepada air kencing, najis atau air liur tikus yang dijangkiti, terutamanya melalui partikel tercemar di udara dan kebanyakan jangkitan berlaku secara sporadik dan berkait dengan persekitaran yang mempunyai infestasi tikus.
Penularan daripada manusia kepada manusia jarang-jarang berlaku dan hanya dikaitkan dengan strain tertentu seperti Andes virus di Amerika Selatan.
KKM ingin menegaskan bahawa tiada kes hantavirus dilaporkan di Malaysia hingga kini dan risiko kepada orang awam di Malaysia pada masa ini adalah rendah.
Walau bagaimanapun, KKM sentiasa memperkukuh kesiapsiagaan dan pemantauan susulan perkembangan situasi global semasa melalui mekanisme Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) dan rangkaian amaran kesihatan antarabangsa WHO.
“KKM sedang melaksanakan pemantauan situasi antarabangsa secara berterusan melalui WHO, IHR, National Focal Point dan rangkaian amaran kesihatan global, selain pemeriksaan dan pemantauan sanitasi kapal serta pengesanan infestasi tikus di pelabuhan antarabangsa melalui pelaksanaan langkah kawalan di bawah IHR 2005 bagi memastikan kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman kemasukan penyakit berjangkit tersebut,” jelasnya.
Tambahnya, pengukuhan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa, pengukuhan kesiapsiagaan fasiliti kesihatan bagi pengesanan awal, notifikasi dan pengurusan kes sekiranya terdapat pesakit disyaki turut dilaksanakan.
Langkah lain juga adalah melalui pengukuhan kapasiti makmal bagi menjalankan ujian pengesahan strain baharu termasuklah Andes virus.
Pada masa ini, Institut Penyelidikan Perubatan telah menjalankan ujian pengesahan bagi jangkitan hantavirus dengan purata permintaan tahunan adalah 20 sampel hingga 30 sampel, namun hingga kini keputusan ujian adalah negatif hantavirus.
Jelasnya, peningkatan aktiviti survelan penyakit berjangkit dan Event-Based Surveillance bagi mengesan sebarang kejadian luar biasa dengan segera serta kerjasama rentas agensi termasuklah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan dalam aspek kawalan vektor dan kebersihan persekitaran juga dilaksanakan.
Menurut KKM, bermula 1 Januari 2026 hingga 2 Mei 2026, sebanyak 22 367 kapal dan bot telah diperiksa di pintu masuk antarabangsa di seluruh negara melibatkan pelbagai pelabuhan utama.
Dalam tempoh yang sama, sebanyak 2421 sijil pratik dan 1146 Ship Sanitation Certificate telah dikeluarkan bagi memastikan kapal yang memasuki negara mematuhi keperluan kesihatan awam, sanitasi dan kawalan infestasi, selaras dengan IHR 2005.
KKM menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah pencegahan seperti mengelakkan kontak langsung dengan tikus, najis atau air kencing tikus dan menggunakan sarung tangan serta pelitup muka semasa membersihkan kawasan yang tercemar dengan najis tikus.
Orang ramai juga dinasihatkan tidak menyapu atau memvakum najis tikus secara terus kerana boleh menyebabkan partikel tercemar tersebar ke udara dan terus mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit otot, batuk atau sesak nafas selepas terdedah kepada persekitaran berisiko.