Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Faktor iklim Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun menyumbang kepada ancaman mikroorganisma terhadap keselamatan makanan dan hal ini semakin membimbangkan sekiranya masyarakat memandang ringan aspek penyimpanan makanan di rumah.
Walaupun makanan kelihatan masih elok dan tidak berbau, hakikatnya bakteria berbahaya boleh membiak secara senyap tanpa disedari, sekali gus meningkatkan risiko keracunan makanan yang boleh menjejaskan kesihatan seluruh keluarga.
Pensyarah Unit Biologi, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, YBrs. Ts. Dr. Nor Atikah Husna Ahmad Nasir berkata, penyimpanan makanan yang selamat dari sudut mikrobiologi merujuk kaedah menyimpan makanan dalam keadaan yang mampu menghalang pencemaran serta pertumbuhan mikroorganisma berbahaya seperti bakteria, virus dan kulat.
Menurut beliau, mikroorganisma tersebut boleh membiak dengan sangat cepat sekiranya makanan disimpan pada suhu yang tidak sesuai atau dibiarkan terlalu lama pada suhu bilik.

Katanya,
Kebanyakan masyarakat tidak sedar bahawa makanan yang nampak masih baik sebenarnya mungkin telah dicemari bakteria. Kes keracunan makanan yang menyebabkan cirit-birit, muntah, demam dan sakit perut sering berpunca daripada pengendalian serta penyimpanan makanan yang tidak betul.
Beliau menjelaskan bahawa lebih 200 jenis penyakit bawaan makanan dikenal pasti berpunca daripada pencemaran mikroorganisma, khususnya bakteria dan virus yang terdapat pada bahan makanan mentah mahupun persekitaran dapur yang kurang bersih.
Antara bakteria yang paling kerap dikaitkan dengan pencemaran makanan termasuklah Salmonella, Escherichia coli (E. coli) dan Staphylococcus aureus yang lazimnya ditemui pada ayam mentah, daging, telur, permukaan dapur dan tangan yang tidak dicuci dengan sempurna selain bakteria seperti Serratia marcescens yang sering ditemui di kawasan lembap seperti sinki dan permukaan dapur.

Jelasnya,
Golongan kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai sistem imun lemah lebih berisiko mengalami komplikasi serius sekiranya terdedah kepada makanan tercemar.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa suhu memainkan peranan yang sangat penting dalam mengawal pertumbuhan bakteria yang membiak dengan cepat dalam julat suhu yang dikenali sebagai “zon bahaya”, iaitu antara 4 darjah Celsius (°C) hingga 60°C.
Menurut beliau, kadar pertumbuhan bakteria paling optimum berlaku hampir pada suhu badan manusia, iaitu sekitar 37°C, sekali gus menjadikan makanan yang dibiarkan terlalu lama pada suhu bilik sangat mudah tercemar.
Ujarnya,
Bagi memastikan makanan lebih selamat, suhu peti sejuk perlu berada pada 4°C atau lebih rendah, manakala suhu peti sejuk beku pula disarankan sekitar -18°C atau lebih rendah agar pertumbuhan bakteria dapat diperlahankan atau dibentikan, walaupun tidak semua bakteria mati sepenuhnya.
Mengulas mengenai tabiat masyarakat menyimpan lebihan makanan untuk dimakan semula, beliau berkata makanan yang telah dimasak tidak seharusnya disimpan terlalu lama walaupun berada di dalam peti sejuk dan tempoh penyimpanan yang disarankan hanyalah sekitar satu hari hingga tiga hari bagi mengelakkan pertumbuhan mikroorganisma yang boleh menjejaskan keselamatan makanan.
Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat bakteria tertentu seperti Bacillus cereus yang mampu menghasilkan spora tahan haba dan boleh terus hidup walaupun makanan telah dimasak.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa antara kesilapan paling lazim dilakukan oleh pengguna di rumah adalah membiarkan makanan masak terdedah terlalu lama pada suhu bilik, menyimpan makanan panas terus ke dalam peti sejuk, tidak menutup makanan dengan sempurna serta mencampurkan makanan mentah bersama dengan makanan yang telah dimasak.
Antara langkah yang disarankan untuk mengelakkan pencemaran silang termasuklah mengasingkan makanan mentah dan makanan masak di dalam peti sejuk, menggunakan bekas bertutup, membersihkan sinki selepas membasuh bahan mentah, mencuci tangan dengan menggunakan sabun serta menggunakan papan pemotong yang berbeza bagi bahan mentah dan makanan siap dimakan.
Dalam masa yang sama, beliau berpandangan bahawa kesedaran masyarakat terhadap mikrobiologi makanan perlu dipertingkatkan melalui pendidikan dan penyelidikan yang lebih meluas, khususnya dalam memahami proses mikroorganisma berkembang dalam persekitaran tropika seperti Malaysia.
Tambahnya,
Penyelidikan mikrobiologi mampu membantu negara memahami pola pencemaran makanan, membangunkan sistem pengawalan yang lebih efektif serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan kebersihan yang lebih baik.

Beliau juga menasihatkan masyarakat supaya tidak mengambil mudah aspek pengendalian makanan di rumah kerana keselamatan makanan bermula daripada disiplin harian setiap individu.
Kepekaan terhadap cara menyimpan, mengendalikan dan menyediakan makanan secara selamat bukan sahaja mampu melindungi kesihatan keluarga, malah menjadi benteng utama dalam membina masyarakat yang lebih sihat dan berdaya tahan terhadap ancaman penyakit bawaan makanan.