Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh budaya Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan menerusi pelaksanaan Modul Induksi Keselamatan Bengkel dan Makmal yang melibatkan pegawai serta kakitangan teknikal bagi memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat, kondusif dan sistematik, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti bengkel dan makmal.
Program yang berlangsung di Bilik Aktiv 1, Bangunan Akademik, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM itu dilaksanakan di bawah Modul Latihan Skim Sains (C) Modul Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan penyertaan kakitangan yang terlibat secara langsung dalam operasi bengkel dan makmal.
Sesi pengenalan disampaikan oleh Pegawai Sains C12 dari Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM), Encik Mohd Noor Faizal Mohd Nadzir yang menekankan kepentingan memahami akta, peraturan serta tanggungjawab majikan dan pekerja dalam memastikan aspek keselamatan sentiasa diberikan keutamaan demi kesejahteraan pekerja dan kelancaran operasi organisasi.

Sementara itu, Pegawai Sains C12 dari Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE), Fakulti Sains Kesihatan, UKM, ChM. Atiah Ayunni Abdul Ghani turut mengupas aspek teknikal berkaitan dengan pengurusan bahaya (hazard) peralatan dan bahan serta pengurusan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara menyeluruh.

Menerusi slot pengurusan hazard, peralatan dan bahan di bengkel dan makmal, peserta didedahkan kepada peraturan dan keselamatan bengkel serta makmal, amalan 4M, keselamatan peralatan, perkakasan dan radas makmal, keselamatan kimia, biologi dan radiasi serta pengurusan sisa kimia, biologi, klinikal, radioaktif, e-sisa dan sisa pepejal secara sistematik bagi meminimumkan risiko pendedahan berbahaya.
Slot pengurusan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan pula memfokuskan kaedah mengenal pasti, menilai dan mengawal risiko secara sistematik di tempat kerja bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga kerja terhadap sebarang kemungkinan insiden.
Encik Mohd Noor Faizal Mohd Nadzir turut menekankan tatacara pelaporan kemalangan, kejadian berbahaya dan keracunan pekerjaan agar setiap insiden dapat ditangani dengan cepat, teratur dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Beliau turut menegaskan kepentingan tindakan kecemasan dan kesiapsiagaan sebagai persediaan menghadapi situasi luar jangka supaya setiap individu mampu bertindak dengan tenang dan efektif ketika berdepan dengan insiden yang tidak diingini.
Untuk memastikan para peserta bukan sahaja memahami teori, malah mampu menggunakannya secara praktikal, program itu turut diselitkan dengan sesi latihan dalam kumpulan yang memberikan peluang kepada peserta untuk membincangkan senarai semak keselamatan serta simulasi penyelesaian masalah berkaitan dengan bengkel dan makmal.
Pelaksanaan modul induksi tersebut mencerminkan komitmen berterusan UKM dalam melahirkan warga kerja yang lebih peka terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, sekali gus memperkukuh budaya kerja selamat di kampus demi kesejahteraan seluruh warga universiti serta mengurangkan kadar insiden di bengkel dan makmal pada masa hadapan.