Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSelayang – Sebanyak 135 orang warga emas menyertai Program Pemeriksaan Kesihatan Warga Emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sungai Tua bersempena dengan sambutan Hari Kesihatan Sedunia, sekali gus mencerminkan kesedaran tinggi terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dalam komuniti.
Program yang dianjurkan oleh pelajar Program Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang dan BeVital itu merupakan sebahagian daripada pengisian kursus Pengenalan kepada Fisioterapi Geriatrik.

Di bawah kepimpinan Puan Husna U’maira bersama-sama barisan ahli jawatankuasa utama, iaitu Puan Adibah Farhanah, Puan Alya Ardini dan Puan Aimi Fadhilah, program ini dilaksanakan dengan jayanya serta dipantau oleh YBrs. Dr. Normala Mesbah dengan kerjasama Puan Aida Safra Ruslan.

Program yang berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari itu menyediakan pelbagai perkhidmatan saringan kesihatan mesra komuniti seperti pengukuran indeks jisim badan (BMI), tekanan darah dan paras glukosa, selain mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peserta yang hadir secara berterusan sepanjang program.


Para peserta menunjukkan kerjasama yang baik dengan mematuhi arahan di setiap stesen, selain bersikap terbuka untuk mendapatkan maklumat kesihatan serta berinteraksi secara aktif dengan pelajar yang bertugas.
Selain saringan asas, peserta turut menjalani penilaian fungsi fizikal seperti kelajuan berjalan, kekuatan genggaman tangan serta ujian mobiliti dan keseimbangan, di samping menerima sesi konsultasi dan intervensi fisioterapi bagi memahami tahap kesihatan mereka dengan lebih jelas.

Bagi menambah elemen interaktif, aktiviti permainan kemahiran motor turut diadakan yang berupaya mewujudkan suasana santai dan menyeronokkan sepanjang program berlangsung.


Dalam program tersebut, sebanyak 33 orang pelajar Program Fisioterapi, UKM yang terdiri daripada pelajar tahun tiga, tahun empat dan pascasiswazah terlibat sebagai fasilitator, sekali gus memberikan peluang kepada mereka untuk menggunakan kemahiran praktikal serta meningkatkan keyakinan dan profesionalisme dalam berinteraksi dengan komuniti.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Selayang, Encik Ahmad Fauzi Ishak yang mewakili Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, sekali gus mencerminkan sokongan pihak berkuasa tempatan terhadap inisiatif kesihatan komuniti.
Majlis Perbandaran Selayang juga memainkan peranan penting melalui penyediaan fasiliti dan sokongan logistik yang teratur serta memastikan kelancaran pelaksanaan program dari awal hingga akhir.
Sementara itu, pelibatan tiga orang wakil dari BeVital turut memperkukuh kolaborasi antara institusi pendidikan dengan sektor kesihatan dalam mendekati masyarakat.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan kesedaran kesihatan serta membuktikan bahawa inisiatif komuniti yang inklusif dan praktikal mampu memberikan impak positif kepada kesejahteraan warga emas.

