Diterbitkan pada 29 April 2026, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Sebanyak 100 orang guru kimia sekolah menengah dan pembantu makmal dari Pahang menyertai program BBL-CST Small Scale Chemistry Training for Secondary Teachers in Malaysia 2026 yang berlangsung pada 27 April 2026 hingga 28 April 2026 di Kulliyyah of Science, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) Kampus Kuantan bagi memperkasakan kaedah pengajaran kimia berasaskan pendekatan lebih selamat, inovatif dan berimpak tinggi.

Program latihan profesional bertaraf antarabangsa ini dianjurkan oleh Chemical Society of Thailand dengan kerjasama IIUM Kampus Kuantan, Institut Kimia Malaysia serta Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, manakala Bangkok Bank bertindak sebagai penaja utama.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Puan Yang Terutama (PYT) Ms. Lada Phumas, Duta Besar Thailand ke Malaysia yang menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam memperkukuh pendidikan sains yang lebih lestari dan inklusif.

PYT Ms. Lada Phumas ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan guru kimia dalam melaksanakan pengajaran berasaskan brain-based learning melalui pendekatan chemical small-scale technique yang lebih selamat, kos efektif serta memberikan impak yang tinggi terhadap pembelajaran murid.

PYT Ms. Lada Phumas bergambar bersama-sama tetamu kehormat dan barisan fasilitator antarabangsa.

Latihan ini juga menggabungkan pendekatan small-scale chemistry (SSC) dengan pedagogi moden yang menekankan pembelajaran aktif, inkuiri dan berpusatkan murid, selain disokong oleh International Union of Pure and Applied Chemistry melalui pelaksanaan pelbagai projek serantau di beberapa negara termasuklah Thailand, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Nepal sejak awal tahun 2000.

Sepanjang bengkel ini berlangsung, para peserta menjalankan kira-kira sembilan eksperimen kimia secara amali termasuklah titrasi asid-bes, elektrolisis air, penggunaan indikator pH, tindak balas gas dan hukum pemuliharaan jisim, selain diberikan latihan mereka bentuk serta mengintegrasikan eksperimen dalam pengajaran di dalam bilik darjah.

Para peserta menjalankan aktiviti eksperimen skala kecil secara amali.

Pendekatan SSC menekankan penggunaan kuantiti bahan kimia yang sangat kecil, peralatan ringkas seperti microplate serta aspek keselamatan dan kelestarian alam sekitar, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan, meminimumkan sisa kimia dan membolehkan lebih banyak eksperimen dapat dilaksanakan.

Para peserta turut menerima kit SSC bagi membolehkan pelaksanaan terus di sekolah masing-masing yang dijangkakan meningkatkan kreativiti guru serta minat dan pelibatan aktif murid dalam pembelajaran kimia.

Bengkel ini dikendalikan oleh fasilitator antarabangsa yang diketuai oleh Pengarah Projek BBL-CST Small Scale Chemistry, YBhg. Profesor Supawan Tantayanon bersama-sama pasukan pakar pendidikan kimia.

YBhg. Profesor Supawan Tantayanon semasa mengendalikan bengkel.

Penganjuran program ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam mentransformasikan pendidikan kimia negara ke arah lebih selamat, lestari dan berdaya saing, selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21.

Guru pakar kimia Sekolah Triam Udon Suksa Pattanakarn Bangkok, Puan Nutthita Siritharamethikul (berdiri) antara yang bertindak sebagai fasilitator antarabangsa.

Turut hadir ialah Presiden Chemical Society of Thailand, YBhg. Profesor Vudhichai Parasuk; Timbalan Presiden Bangkok Bank, Encik Surayud Kanchanabhogin; Dekan Kulliyyah of Science, IIUM Kampus Kuantan, YBhg. Profesor Kamaruzzaman Yunus; Presiden Institut Kimia Malaysia, YBrs. Profesor Madya Ts. Saiful Arifin Shafiee serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Encik Mohammad Dzulkhairy Abdul Rahman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi