Diterbitkan pada 29 April 2026, 15:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lebih daripada 100 orang peserta menyertai Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026 di Tasik Titiwangsa seawal pagi, menggabungkan aktiviti fizikal dan pengisian ilmiah dengan penekanan terhadap kesejahteraan psikososial di tempat kerja.

Program anjuran MIHA Student Chapter dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026 bagi meningkatkan kesedaran menyeluruh tentang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Penganjuran ini selaras dengan usaha institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh budaya kerja sihat serta meningkatkan kesedaran warga universiti terhadap kepentingan kesejahteraan psikososial.

Program dimulakan seawal jam 7.00 pagi dengan aktiviti larian yang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup aktif, malah meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan fizikal sebagai sebahagian daripada kesejahteraan pekerja secara holistik.

Para peserta bergambar sebelum memulakan aktiviti larian.

Pemenang larian, Encik Muhammad Ikmal Muhaimin Mustaffa berkata, penyertaannya membuka perspektif baharu tentang kepentingan menjaga kesihatan diri serta keseimbangan antara kerja dengan kehidupan yang mempengaruhi kesejahteraan mental.

Pemenang aktiviti larian, Encik Muhammad Ikmal Muhaimin.
Antara peserta yang menyertai aktiviti larian.
Para peserta berjaya menamatkan aktiviti larian yang dijalankan.

Sambutan ini diteruskan dengan sesi ceramah psikososial yang menampilkan tiga penceramah undangan, Puan Nurul Azierra Zamzam dari Yakult, Puan Anita Abu Bakar dari Mental Illness Awareness and Support Association dan Encik Muhammad Emir Nuqman Mohd Marizan dari HGIS-Enviros Sdn. Bhd.

Sesi ceramah tersebut memberikan pendedahan tentang kepentingan mengenal pasti risiko psikososial seperti tekanan kerja dan ketidakseimbangan antara kerja dengan kehidupan, selain menekankan bahawa tekanan kronik boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal termasuklah sistem pencernaan.

Para peserta turut didedahkan dengan langkah praktikal seperti pengurusan masa, sokongan sosial, komunikasi terbuka dan amalan gaya hidup sihat bagi meningkatkan kesejahteraan diri.

Menurut Puan Anita Abu Bakar, stigma terhadap isu psikososial perlu dikurangkan agar individu lebih berani mendapatkan bantuan dan sokongan.

Puan Anita Abu Bakar ketika berkongsikan isu tentang kesihatan mental bersempena dengan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026.

Sementara itu, Encik Muhammad Emir Nuqman berkata, pelbagai pendekatan praktikal boleh dilaksanakan di tempat kerja bagi mengurus tekanan termasuklah pemakanan seimbang, tidur mencukupi dan pelaksanaan program pengurusan stres yang berkesan.

Encik Muhammad Emir Nuqman ketika berkongsikan cara menangani psikososial di tempat kerja.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan kesedaran dan pemahaman berkaitan dengan keselamatan serta kesihatan pekerjaan, khususnya aspek psikososial dengan bimbingan penasihat program, YBrs. Dr. Dayana Hazwani Mohd Suadi Nata yang komited dalam memperkasakan kesedaran melalui pendekatan inovatif dalam kalangan pelajar dan warga kampus.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi