Diterbitkan pada 29 April 2026, 12:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selangor – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mempergiat usaha memperkasakan minat pelajar terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui program “MARDI Masuk Sekolah” dengan membawa pendedahan agroteknologi moden secara interaktif kepada hampir 4000 pelajar orang menerusi penyertaan dalam Hari Eksplorasi STEM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara (4) pada 8 April 2026 dan Karnival STEM 2026 di SMK Seri Kundang pada 15 April 2026.

Inisiatif ini selari dengan perubahan landskap pendidikan yang semakin dipacu teknologi, yakni pendekatan STEM yang dilihat penting dalam membantu pelajar memahami aplikasi dunia sebenar secara lebih praktikal dan menarik termasuklah dalam sektor pertanian moden.

Pelibatan MARDI membabitkan pegawai dari Ibu Pejabat MARDI Serdang, iaitu Pusat Penyelidikan Hortikultur (Pusat HR) dan Pusat Pemindahan Teknologi dan Pembangunan Usahawan (Pusat TE) serta sokongan daripada dua stesen MARDI Selangor, iaitu MARDI Klang dan MARDI Kundang bagi memastikan penyampaian ilmu lebih menyeluruh dan berkesan.

Sepanjang program berlangsung, para pelajar memberikan sambutan yang amat menggalakkan dengan pelibatan aktif dalam pelbagai aktiviti berasaskan STEM yang disediakan, sekali gus mencerminkan minat yang tinggi terhadap bidang pertanian moden apabila dikaitkan dengan teknologi.

Para pelajar berpeluang melihat serta mencuba sendiri sampel dan produk pameran MARDI dengan penuh minat.

Antara tarikan utama termasuklah pameran teknologi pertanian seperti penggunaan dron, model kilang tanaman serta sistem hidroponik aliran nipis yang dilengkapi dengan pencahayaan diod pancaran cahaya (LED) untuk penanaman secara dalaman, selain set GreenKit yang direka khas untuk penanaman sayuran, ulaman dan herba di ruangan yang terhad.

Sesi taklimat telah disampaikan oleh pegawai MARDI untuk memberikan pendedahan dan penjelasan berkaitan dengan pameran dan teknologi yang disediakan.

Turut mencuri perhatian ialah inovasi EZGROW™, iaitu medium tanaman padat berbentuk kiub yang berfungsi sebagai bekas dan medium tanaman dalam satu, sekali gus memudahkan proses percambahan dan pembesaran anak benih tanpa memerlukan pasu plastik serta lebih mesra alam.

Reruai MARDI turut menyediakan pelbagai cenderamata eksklusif dan sudut bergambar interaktif bagi menarik minat serta memeriahkan lagi kehadiran para pelajar.

Pameran turut menampilkan koleksi serangga perosak, penyakit tanaman serta sampel kultur tisu pisang daripada simpanan MARDI yang memberikan pendedahan menyeluruh kepada pelajar tentang aspek pengurusan tanaman pada era pertanian berteknologi tinggi.

Pendekatan interaktif seperti sesi sembang santai, kuiz, demonstrasi langsung dan tayangan video berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih hidup, di samping memberikan peluang kepada pelajar untuk memahami teknologi serta potensi kerjaya dalam bidang agroteknologi.

Selain itu, sudut jualan produk hasil penyelidikan MARDI seperti buah ciku dan sayuran segar dari kilang tanaman turut mendapat sambutan yang baik serta membantu pelajar memahami konsep rantaian nilai dalam sektor agromakanan.

Program ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada pelajar, malah turut melibatkan guru sebagai pemudah cara dalam menjadikan pembelajaran lebih relevan dengan mata pelajaran semasa serta berorientasikan penggunaan sebenar.

Dari sudut impak, program ini berjaya meningkatkan kebolehlihatan MARDI sebagai agensi yang aktif memindahkan teknologi, di samping mengukuhkan hubungan dengan pihak sekolah dan membuka ruang kerjasama pada masa hadapan.

Yang lebih penting, inisiatif ini berjaya mengubah persepsi pelajar terhadap bidang pertanian daripada sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) kepada bidang moden, inovatif dan berpotensi sebagai kerjaya masa hadapan.

Secara keseluruhannya, program “MARDI Masuk Sekolah” bukan sekadar program pameran, tetapi satu platform berimpak tinggi dalam mendekatkan dunia sains dan teknologi pertanian kepada generasi muda melalui pendekatan santai, interaktif dan informatif yang wajar diperluas ke lebih banyak sekolah.

Kod QR untuk menonton video sorotan program ”MARDI Masuk Sekolah”.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi