Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMerlimau – Penganjuran program Rejuvenasi Ekosistem Bakau yang berlangsung di Hutan Simpan Sebatu pada Sabtu dilihat sebagai satu inisiatif penting bagi memulihara ekosistem bakau yang semakin terancam akibat daripada perubahan alam dan aktiviti manusia.
Inisiatif tersebut berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan belia yang terdiri daripada warga Politeknik Merlimau Melaka, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka Kampus Lendu, serta Sekolah Menengah Dang Anum.
Sepanjang program itu berlangsung, para peserta berpeluang terlibat secara langsung dalam aktiviti penanaman anak pokok bakau di kawasan yang dikenal pasti sebagai zon pemulihan.
Program yang dianjurkan bersempena dengan Rakan Bumi: Projek Planet Rakan Muda Peringkat Negeri Melaka 2026 ini bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran secara praktikal, malah memberikan pendedahan kepada para peserta tentang teknik penanaman bakau yang betul.
Selain itu, pengisian program turut merangkumi sesi taklimat kesedaran yang bertujuan untuk memperkukuh kefahaman peserta berkaitan dengan isu alam sekitar dan tanggungjawab bersama bagi memastikan kelestarian alam.
Pendekatan bersepadu yang menggabungkan elemen teori dan amali ini berupaya membentuk nilai keprihatinan serta sikap bertanggungjawab dalam kalangan generasi muda.
Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka tersebut turut mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada pelbagai rakan strategik seperti Politeknik Merlimau Melaka, Jabatan Perhutanan Negeri Melaka, Persatuan Kanu Negeri Melaka, serta beberapa agensi dan komuniti setempat.
Pelaksanaannya mencerminkan komitmen padu pelbagai pihak bagi menyokong agenda pembangunan mampan, di samping memperkasakan budaya kesukarelawanan belia.
Pada masa yang sama, program tersebut menyemai kesedaran dan meningkatkan pelibatan aktif masyarakat, khususnya generasi muda dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.