Diterbitkan pada 24 April 2026, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Pokok angsana (Pterocarpus indicus) dikenal pasti berpotensi sebagai komponen infrastruktur bandar hijau berasaskan sains melalui peranannya dalam pengawalan mikroiklim, penyerapan karbon dan sokongan biodiversiti.

Keindahan bunga angsana berwarna kuning keemasan menyerlahkan estetika landskap dan menyebarkan haruman yang menyenangkan.

Menurut pensyarah Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Puan Nur Illani Abdul Razak, morfologi kanopi angsana yang berbentuk payung, lebar dan padat dengan dahan melendut ke bawah membolehkan pengurangan radiasi haba secara efektif serta meningkatkan kualiti teduhan, sekali gus membantu menurunkan suhu persekitaran di kawasan bandar yang mengalami tekanan haba.

Hamparan bunga angsana yang gugur mencipta pemandangan yang memukau dan menjadi tarikan visual unik di kawasan landskap awam.

Katanya,

Ciri fenologi berbunga angsana yang menghasilkan bunga kuning keemasan secara serentak bukan sahaja memberikan nilai visual, malah menyumbang kepada interaksi ekologi apabila guguran bunga membentuk litupan organik yang berpotensi mempengaruhi sifat fizikokimia permukaan tanah.

Kehijauan pokok dan landskap angsana memperkukuh identiti visual serta menyokong konsep pelancongan lestari di kawasan tumpuan awam.

Dalam konteks perancangan landskap, saiz pokok yang besar dan struktur matang menyokong pembentukan sense of place dari sudut spatial, di samping berfungsi sebagai elemen rujukan tetap dalam reka bentuk persekitaran bandar dan kawasan warisan seperti Taiping dan Pulau Pinang.

Jelasnya,

Struktur batang dan akar banir angsana menunjukkan ciri adaptasi biomekanikal yang unik, manakala interaksi deria seperti penghasilan sebatian aromatik daripada bunga serta bunyi dedaun yang ditiup angin mencerminkan hubungan kompleks antara tumbuhan dengan persekitarannya.

Dari perspektif etnobotani dan sejarah biologi, angsana merupakan antara spesies yang diperkenalkan dalam sistem landskap jalanan oleh pentadbir kolonial British sejak abad ke-19, sementara kayunya yang dikenali sebagai amboyna burl mempunyai nilai yang tinggi dari segi sifat fizikal dan estetik dalam industri perkayuan.

Dalam aspek hortikultur pula, angsana dikategorikan sebagai spesies tropika Asia Tenggara yang mempunyai toleransi tinggi terhadap tekanan persekitaran seperti suhu tinggi, hujan lebat dan pencemaran udara, selain kadar pertumbuhan yang cepat, keupayaan pembiakan yang baik serta fungsi pengikatan nitrogen yang menyumbang kepada peningkatan kesuburan tanah.

Gugusan bunga angsana yang mekar serentak menghasilkan impak visual dramatik serta menarik kehadiran serangga pendebunga dalam ekosistem bandar.

Puan Nur Illani Abdul Razak juga menegaskan bahawa sistem akar banir yang berkembang luas memerlukan ruang pertumbuhan mencukupi bagi mengelakkan gangguan terhadap struktur binaan, sekali gus menuntut perancangan tapak yang lebih teliti.

Dari sudut ekologi bandar, angsana berfungsi sebagai penyerap karbon yang efisien serta menyediakan habitat kepada pelbagai organisma termasuklah burung dan agen pendebunga seperti lebah dan kelulut, sekali gus menyokong kestabilan biodiversiti dalam ekosistem bandar.

Beliau turut menjelaskan bahawa proses transpirasi dan keupayaan teduhan pokok ini memainkan peranan penting dalam mitigasi fenomena “Urban Heat Island” melalui pengurangan suhu ambien dan peningkatan keselesaan terma.

Pendekatan pengurusan berasaskan sains dicadangkan termasuklah penilaian risiko pokok secara berkala oleh arboris bertauliah bagi mengesan penyakit seperti layu serta kelemahan struktur dahan.

Tambah beliau,

Fenologi musim berbunga angsana sekitar Mac hingga Mei boleh dimanfaatkan sebagai asas kepada pemantauan ekologi dan pembangunan produk pelancongan berasaskan alam, di samping penggunaan teknologi seperti kod QR bagi penyebaran maklumat botani dan pendidikan awam.

Integrasi perancangan landskap, pengurusan saintifik dan inovasi teknologi membolehkan pokok angsana dimanfaatkan secara optimum sebagai elemen penting dalam pembangunan infrastruktur hijau pintar.

Secara keseluruhannya, potensi angsana sebagai spesies pelbagai fungsi menyerlahkan kepentingannya dalam menyokong kelestarian alam sekitar, keseimbangan ekosistem dan kesejahteraan hidup melalui pendekatan berasaskan sains.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi