Diterbitkan pada 20 April 2026, 18:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dengkil – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) menegaskan tiada isu pematuhan keselamatan sinaran kritikal yang boleh mengaitkan dakwaan kewujudan kluster kanser di Unit Perubatan Nuklear, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

MOSTI memaklumkan bahawa siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Kawal Selia Radiasi Perubatan (BKRP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Hasil siasatan KKM telah menunjukkan bahawa tiada isu pematuhan keselamatan sinaran yang kritikal yang boleh dikaitkan dengan dakwaan kewujudan kluster kanser di unit berkenaan,” jelas MOSTI dalam satu kenyataan hari ini.

MOSTI menegaskan bahawa Atom Malaysia dan BKRP sentiasa komited untuk memastikan keselamatan pekerja sinaran dan orang awam.

Pada masa yang sama, kementerian turut memberikan jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pemegang lesen yang tidak mematuhi Akta 304, peraturan dan syarat lesen yang ditetapkan.

Pada 17 April lalu, Universiti Malaya (UM) menafikan dakwaan fasiliti imbasan tomografi pancaran positron-tomografi berkomputer (PET-CT) di PPUM terdedah kepada risiko radiasi berbahaya.

Menurut kenyataan daripada UM, pihaknya mengambil maklum akan kebimbangan warga kerja berhubung dengan isu kesihatan serius membabitkan diagnosis kanser, namun menegaskan dakwaan itu tidak benar.

Tambah UM lagi, operasi imbasan PET-CT di pusat perubatan itu dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan yang ketat dengan tahap pendedahan radiasi yang sentiasa dipantau serta terkawal dan semua pekerja sinaran diwajibkan memakai dosimeter peribadi.

Terdahulu, tular laporan media mengenai dakwaan berlaku pelanggaran prosedur keselamatan radiasi di Unit Perubatan Nuklear hospital berkenaan sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga kerja dan pesakit.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi