Diterbitkan pada 17 April 2026, 10:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Lahad Datu — Daerah Lahad Datu di Sabah dikenal pasti sebagai lokasi paling sesuai bagi pembangunan tapak pelancaran roket dan satelit di Asia Tenggara berdasarkan kajian yang dijalankan oleh kerajaan negeri bersama-sama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Perkara tersebut didedahkan oleh Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika berucap dalam Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 di Dewan Sri Perdana Lahad Datu sambil memaklumkan bahawa walaupun terdapat negeri lain yang turut mengemukakan permohonan bagi projek berkenaan, kajian mendapati bahawa Lahad Datu merupakan pilihan yang paling tepat.

Menurut beliau, dalam tempoh dua tahun hingga tiga tahun akan datang, Lahad Datu dijangkakan muncul sebagai destinasi tumpuan bukan sahaja pelancong, malah saintis angkasa dari dalam dan luar negara, sekali gus berpotensi merancakkan ekonomi tempatan.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak hanya menumpukan pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya turut memberikan perhatian kepada kesejahteraan hidup rakyat di daerah tersebut.

Beliau turut menyeru rakyat Lahad Datu agar terus menyokong kerajaan negeri bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang dirancang, selain menegaskan kerajaan mempunyai hala tuju yang jelas dan telah membuktikan keupayaannya memacu kemajuan negeri.

Sekiranya projek tersebut direalisasikan, Lahad Datu bukan sahaja dikenali sebagai daerah pertanian dan perikanan, malah berpotensi muncul sebagai peneraju teknologi angkasa lepas di rantau Asia Tenggara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi