Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperkukuh strategi tenaga lestari negara bagi membantu rakyat mendepani impak krisis tenaga global.
Melalui kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, PETRA menyatakan keprihatinan terhadap keperluan tenaga rakyat yang kini terdedah kepada ketidaktentuan pasaran dunia.
Sebagai langkah proaktif, PETRA menekankan kepentingan meningkatkan kemampanan tenaga kendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional.
Satu daripada inisiatif utama yang ditekankan ialah Solar Accelerated Transition Action Programme atau Solar ATAP yang telah dilancarkan sejak 1 Januari lalu. Program ini bertujuan untuk menggalakkan pengguna domestik mahupun bukan domestik untuk memasang sistem solar di atas bumbung premis masing-masing.
“Langkah ini bukan sahaja mampu mewujudkan nilai ekonomi melalui pengurangan kos bil elektrik secara langsung, malah selari dengan pendekatan negara yang menekankan kecekapan tenaga dan pengoptimuman penggunaan sumber secara mandiri,” jelas PETRA dalam kenyataan media hari ini.
Bagi kumpulan bukan domestik yang bimbang mengenai kos permulaan, PETRA memaklumkan bahawa terdapat pelbagai model perolehan yang disediakan oleh syarikat pemasangan solar berdaftar. Antaranya termasuklah model solar leasing atau rent-to-own yang membolehkan pemasangan dilakukan tanpa perlu mengeluarkan modal awal yang besar.
Pengguna yang berminat boleh menyemak senarai Pelabur Solar Fotovoltaik (PV) dan Penyedia Perkhidmatan PV yang berdaftar melalui laman web rasmi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia bagi memastikan urusan pemasangan berjalan lancar dan selamat.
Selain itu, bagi syarikat industri yang menggunakan voltan sederhana dan tinggi, kerajaan menawarkan Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) yang direka khusus untuk membekalkan elektrik hijau dengan harga yang lebih stabil bagi jangka masa panjang, sekali gus melindungi sektor industri daripada turun naik harga bahan api dunia.
Bagi menjayakan usaha ini, PETRA juga sedang merangka penambahbaikan berterusan agar program Solar ATAP menjadi lebih mampu milik kepada semua lapisan masyarakat, terutamanya kepada pengguna domestik.
Dalam pada itu, PETRA turut menyeru rakyat, khususnya mereka yang bekerja dari rumah (BDR) untuk mengamalkan budaya cekap tenaga, termasuklah menetapkan suhu penyaman udara pada 24 darjah Celsius, memilih peralatan elektrik berlabel lima bintang, serta memanfaatkan skim Time of Use (ToU) untuk penggunaan yang lebih efektif.
Inisiatif menyeluruh ini diharapkan dapat mengukuhkan landskap tenaga negara berdasarkan elemen Energy Trilemma, iaitu keselamatan bekalan, mampu bayar dan kemampanan, demi kesejahteraan generasi masa ini dan akan datang selaras dengan visi Malaysia MADANI.